LEBIH 65,000 tandatangan dikumpul dalam satu petisyen bagi membantah penukaran kiraan bacaan meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan membebankan pengguna.

Kaedah baharu yang dikenali sebagai pengiraan protara itu dipercayai dilaksanakan tanpa pengetahuan umum dan mengundang kemarahan ramai apabila mendapati bil mereka naik melambung.

Petisyen itu yang dimulakan oleh Abdullah Fahim memohon kerajaan Malaysia mengkaji balik meter digital dan kiraan yang di gunakan oleh TNB bagi caj pengguna elektrik kerana mengalami kenaikan mendadak.

Beliau juga mendakwa ada unsur penipuan apabila berlaku kelewatan bill yang dihantar oleh TNB mengakibatkan rakyat terpaksa membayar lebih mengikut kiraan prorata TNB.

Selain itu, rakyat juga mengeluh dengan cukai yang dikenakan agak tinggi bagi setiap bil membebankan rakyat manakala pemotongan elektrik pulak agak cepat apabila berlaku bill tertunggak.

Sejak minggu lalu, netizen ‘menyerang’ TNB dengan memuat naik status di media sosial bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan mendadak bil elektrik.

Setakat ini difahamkan TNB masih belum tampil dengan membuat penjelasan secara menyeluruh mengenai penukaran kaedah kiraan bil itu.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii menggesa TNB menjelaskan kepada rakyat mengenai rungutan peningkatan bil elektrik yang naik mendadak sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat yang mengeluh berlaku kenaikan bil elektrik mereka menerusi media-media sosial.

“Minggu ini kecoh di Facebook dan media sosial berkenaan dengan bil TNB yang mendadak naik. Sekiranya kita ‘search’ TNB di ruangan Facebook, akan ada banyak keputusan keluar berkenaan rungutan pengguna TNB.

“Ada yang sudah melaporkan kepada Hotline, namun rakyat terus di dalam teka teki, tidak ada pengumuman oleh TNB.

“Sudah masa pengurusan TNB menjawab kepada pengguna berkenaan kenaikan ini. Sekira ada kekhilafan dan lewat pembayaran bil, TNB perlu menjawab kepada pengguna,” katanya. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.