TOMMY Thomas akhirnya disahkan memberi arahan kepada peguam yang mewakili Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk menarik diri daripada inkues kematian anggota bomba itu.

Tun Mahathir Mohamad mengesahkan perkara itu dengan menjelaskan bahawa tindakan peguam Nor Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian Adib Mohd Kassim, adalah seperti yang diarahkan Tommy.

Jelasnya, arahan itu dibuat kerana pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mengetahui bahawa dalam masa yang sama Nor Syazlin turut mewakili keluarga Muhammad Adib.

“Peguam Negara telah keluarkan kenyataan apa berlaku. Dia jadi peguam keluarga Muhammad Adib, lepas itu jadi (peguam yang mewakili) kerajaan pula, mana boleh.

“Kalau dia wakil (keluarga) Muhammad Adib dan kerajaan, kerana pihak yang memilih tidak sedar dia jadi peguam kepada keluarga Adib, dia mesti tarik diri dari (mewakili) kerajaan. Tetapi dia patut teruskan sebagai peguam keluarga Adib.

“Tapi dia tarik diri, dia anggap dia nak cari kebenaran. Perdana Menteri tidak berkuasa atas mahkamah seperti dulu. Jadi kalau tidak percaya kepada mahkamah nak percaya kepada siapa,” katanya.

Tun Mahathir berkata, tindakan Peguam Negara itu mempunyai alasan dan asas yang kukuh.

Sebelum itu, Setiausaha Politik Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataannya berkata, kementerian segera bertindak mengikut nasihat Tommy di dalam surat yang bertarikh 23 Mei lalu.

“Setelah menerima surat tersebut, KPKT telah bertindak mengikut nasihat Tommy dan mengarahkan Syazlin menarik diri daripada inkues tersebut,” katanya.

Isu Syazlin menarik diri mencetus perdebatan hangat apabila ada pihak mendakwa peguam itu menerima tekanan untuk berundur daripada mengendalikan kes itu.

Persoalan yang berbangkit adalah bagaimana KPKT tidak mengetahui Syazlin mewakili keluarga Adib sedangkan kes itu sudah berlangsung selama hampir empat bulan.

Rakyat dan NGO mendesak agar Tommy meletak jawatan kerana ‘kecuaiannya’ mengendalikan kes tersebut selain dilihat membuat keputusan yang kurang menyenangkan ramai pihak. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.