WILAYAH selatan Thailand bergolak kembali apabila dua orang maut dan 14 lagi cedera dalam kejadian letupan bom di pasar Ramadan di Pattani, selatan Thailand, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang (waktu tempatan) itu, orang ramai sedang membeli juadah berbuka di pasar ramadan di Pekan Bo Thong, Nong Chik, Pattani.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Mej. Jen. Pol. Piyawat Chalermsi berkata, bom buatan sendiri seberat 15 kilogram itu dipasang pada sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan alat perhubungan radio.

Beliau berkata, seorang mangsa yang merupakan remaja berusia 14 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang wanita berusia 35 tahun meninggal dunia di Hospital Pattani.

“Seramai 14 orang, termasuk empat renjer yang sedang mengawal keselamatan di tempat kejadian mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Dalam kejadian itu, lima buah kenderaan rosak teruk akibat serpihan bom manakala beberapa buah premis perniagaan turut mengalami kerosakan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.