KETUA pembangkang mendesak kerajaan untuk menyegerakan bantuan kepada peneroka di tanah rancangan Felda, RISDA dan Felcra di seluruh negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menyaksikan sendiri bagaimana golongan ini bergelut dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak memberangsangkan.

Peneroka sendiri yang menceritakan masalah yang dihadapi mereka dan mengatakan sambutan Ramadan pada tahun ini serba sederhana sahaja, katanya.

“Jelas bahawa masyarakat dan rakyat luar bandar khususnya tanah-tanah rancangan sedang bergelut dengan kekangan kewangan di hari-hari akhir ramadhan ini untuk menyambut raya dan Syawal.

“Kesan dari masalah kewangan golongan ini turut menjejaskan peniaga Pasar Ramadan yang saya sendiri temui apabila tidak ramai orang keluar ke pasar ramadhan tahu ini

“Saya melihat sendiri senario yang berlaku ini dengan rasa insaf dan sedih.Kerajaan PH harus lakukan sesuatu dalam Ramadan yang berbaki tidak berapa hari lagi sebelum tiba Hari Raya Aidil Fitri,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan agar diberikan sumbangan berbentuk kewangan kepada peneroka Felda.

Kata Anwar, melalui bantuan ini ianya dapat meringankan golongan itu bersempana hari raya yang bakal disambut pada minggu hadapan.

“Mungkin kita boleh ringankan beban mereka dengan sedikit bantuan atau elaun kepada peneroka yang mengalami kesusahan di bulan Ramadan dan akan menyambut hari raya.

“Rakyat hadapi masalah bulan Ramadan, masalah pula untuk hari raya, kita fikir kalau bolehlah dipertimbangkan, beri sedikit pun tidak apa.

“Mereka rasa ringan sedikit beban, jumlah itu terserah (kepada kerajaan),” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata beliau memahami apa yang disuarakan oleh menteri hal ehwal ekonomi berkenaan masalah kewangan negara yang tidak stabil.

Minggu lalu, Datuk Seri Azmin Ali ketika ditanya media berkenaan bantuan raya beliau berkata kerajaan tidak dapat memberi jaminan mengenai perkara ini.

Katanya keadaan ini berkait rapat dengan bebanan hutang yang dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika ini.

Menurut beliau sekarang ini kerajaan menumpukan untuk memberi insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan kepada para peneroka, sebelum Aidilfitri ini.

“Setakat ini tidak ada (duit raya) sebab kita nak salurkan dulu pinjaman sara hidup dan juga pendahuluan hasil kepada peneroka Felda, dan saya baru saja bertemu peneroka Felda minggu lepas, saya nak pastikan semua duit ini disalur sebelum hari raya,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, perdana menteri memaklumkan dia tidak mengetahui sumbangan duit raya kepada peneroka Felda.

Malah beliau menyerahkan kepada Azmin berkenaan ini.

“Ada ka? (Tun tanya Guan Eng) Saya tidak tahu. Pegawai kerajaan kita sudah bagi dah.

“Tetapi tak tahulah mereka ini pegawai atau tidak. Kena tanya  Azmin,” katanya dalam sidang media, semalam. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.