KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) dipersoal kerana masih belum menggunakan formula yang dicadangkan oleh Rafizi Ramli untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar, kata aktivis politik, Khalid Ismath.

Khalid yang juga merupakan pejuang PTPTN, berkata sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-14), formula ini sering dicanang-canang sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam isu pendidikan.

Katanya, hasil perbincangan dengan Rafizi, kerajaan boleh menggunakan pendapatan daripada Petronas dan konsensi tol untuk membiayai pendidikan percuma negara.

“Antara yang saya ingat formula itu ialah, pendapatan daripada Petronas dan konsensi tol.

“Rafizi pernah sebut, kos biayai maksimum mencecah hanya RM6 bilion setahun.

“Dia mengatakan bahawa pendapatan Petronas berlipat kali ganda daripada angka RM6 bilion tersebut,” katanya pada sesi wawancara bertajuk ‘Mana Pergi Pejuangkan PTPTN’ di studio Nothing To Hide, baru-baru ini.

Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu turut yakin bahawa kerajaan hari ini sebenarnya mampu melaksanakan pendidikan percuma.

Namun kini PH dilihat banyak  memberi alasan yang tidak munasabah di dalam menepis permintaan rakyat untuk mereka tunaikan manifesto yang diwar-warkan, katanya.

“Tidak timbul kebolehmampuan kerajaan untuk laksanakan.

“Saya yakin dan pasti memang kerajaan mampu laksanakan sampai sekarang cuma kerja (sedia ada) berdolak dalih hendak laksanakan sama ada (pada) zaman PH atau Barisan Nasional (BN).

“(Hakikatnya) Kerajaan masih mampu laksanakan walaupun kata hutang (negara) banyak dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut percaya bahawa isu pendidikan percuma ini adalah wayang PH di dalam menarik golongan belia untuk berpihak kepada mereka.

“Saya setuju…ianya adalah satu retorik dan satu bentuk janji manis.

“Walaupun mereka mampu melakukannya tetapi mereka berdolak dalih,” tegasnya. – NTHQiBord, 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.