WARAN tangkap yang dikeluarkan sebelum ini terhadap bekas pengarah agensi perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid telah dibatalkan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui keputusan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Hakim membatalkan waran tangkap itu selepas selesai mendengar permohonan tersebut daripada peguam Datuk Shaharudin Ali.

Mahkamah dalam keputusannya memerintahkan supaya Hasanah hadir bersama penjaminnya pada setiap tarikh bagi pengurusan kes sehingga hari perbicaraan.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia selepas beliau gagal hadir tanpa sebab ketika pengurusan kes atas kesalahan pecah amanah wang RM50.43 juta yang dikenakan terhadapnya.

Shaharudin sebelum itu mengemukakan permohonan maaf kerana gagal hadir pada prosiding terdahulu kerana terlepas pandang tarikh yang sudah ditetapkan.

Katanya beliau melihat bahawa tiada keperluan untuk anak guamnya untuk hadir bagi pengurusan kes kerana ia bukan prosiding perbicaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 172 B Kanun Prosedur Tatacara Jenayah mewajibkan tertuduh hadir setiap kali kes disebut di mahkamah.

Hasanah pada 25 Oktober tahun lepas  mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan.

Dia didakwa melakukan perkara itu di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei tahun lalu.

Hasanah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 hari bermula 3 Februari 2020 untuk perbicaraan. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.