KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasa marah dan terkejut apabila beliau mengetahui seseorang memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya di AmBank.

Hal itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shamsul memberitahu mahkamah, beliau menemui Najib di kediaman bekas perdana menteri itu pada hari ketiga Aidilfitri, selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu siasatan kes.

“Beliau terkejut dan marah seseorang memasukkan wang ke akaunnya dan tidak tahu siapa orangnya. Beliau sedih.

“Dari tingkah lakunya, saya percaya reaksi Najib adalah tulus.

“Bagaimanapun, kami tidak bincang lanjut tentang perkara itu,” kata saksi ke-37 itu.

Shamsul berkata, beliau sudah meminta maaf kepada Najib kerana Ihsan Perdana ialah syarikat terakhir yang memindahkan wang ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu di AmBank cawangan Jalan Raja Chulan.

“Saya tidak percaya Najib pernah melakukan perkara tidak wajar ketika memegang jawatan dalam kerajaan.

“Beliau serius dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sentiasa menggalakkan saya dalam kerja sedemikian.

“Beliau tidak kira anda dari parti atau bangsa mana, beliau tetap akan tolong (melalui CSR),” katanya.

Terdahulu, Shamsul memberitahu makhamah bahawa beliau pernah ‘dipaksa’ oleh SPRM untuk mengakui mengetahui pemindahan wang RM42 juta ke dalam akaun Najib.

Bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian kerana benar-benar tidak tahu siapa pemilik akaun itu.

Dr Shamsul memberitahu mahkamah bahawa perkara itu berlaku ketika beliau ditahan SPRM pada 2015.

Dr Shamsul berkata, SPRM juga mengingatkan beliau tentang risiko didakwa atas kesalahan bersubahat dengan jenayah pecah amanah.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.