KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman hanya mengetahui beliau memasukkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak apabila diberitahu oleh penyiasat.

Dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Shamsul berkata beliau mengetahui identiti pemilik akaun peribadi AmBank apabila ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2015.

“Saya tidak tahu pemilik akaun itu adalah Datuk Seri Najib. Saya hanya tahu apabila dimaklumkan SPRM selepas direman selama lima hari,” kata saksi ke-37 kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd itu.

Najib berdepan tujuh pendakwaan termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM42 juta menerusi SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Board (1MDB).

Dalam keterangannya pada 15 Mei lalu, Shamsul memberitahu bahawa RM42 juta itu dipindahkan ke tiga akaun berasing dari akaun Affin Bank milik IPSB ke akaun Najib antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Akaun Najib diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil yang masih hilang dan dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.

Wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dipindahkan ke akaun Najib pada 2014 dan bakinya RM10 juta pada 2015, menjadikan keseluruhannya RM42 juta.

Shamsul memberitahu bahawa beliau diarahkan dua individu iaitu Ung Su Ling dan Dennis See Thuan Buan untuk memindahkan wang RM42 juta itu ke akaun Najib.

Beliau mengakui tidak pernah menerima arahan daripada Najib atau SRC International untuk memindahkan wang tersebut.

Su Ling merupakan CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia’s (YR1M) dan Dennis See adalah pengarah projek YR1M, sebuah entiti berbeza daripada 1MDB atau SRC International.

Shamsul mendedahkan beliau menerima arahan Su Ling menerusi emel manakala Dennis See mengeluarkan arahan secara terus kepadanya.

“Dennis See datang ke pejabat saya dan meminta kebenaran untuk pinjam akaun Ihsan Perdana sebagai transit bagi memindahkan wang itu,” kata Shamsul.

Katanya, Dennis See atau Su Ling tidak pernah memberitahunya tentang pemilik akaun AmBank tersebut.

“Mereka (Dennis See dan Su Ling) merupakan pemberi dana kepada Ihsan Perdana. Jadi saya patuh kepada arahan mereka,” katanya.

IPSB ditubuhkan pada 2011 atas arahan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk mengendalikan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah 1MDB.

Shamsul yang sebelum ini merupakan pengarah 1MDB bagi program CSR 1MDB, dilantik menjadi pengarah urusan IPSB.

Beliau memberitahu bahawa IPSB tidak diperbadankan, dan menerima jaminan bawah geran sebanyak RM250 juta akan diberikan oleh SRC International kepada IPSB.

Namun katanya geran itu tidak pernah diberikan atau IPSB menerima duit daripada SRC International.

Beliau memberitahu mahkamah walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan Najib, namun mereka tidak pernah berkomunikasi tentang RM42 juta yang dipindahkan itu.

“Tidak. Tidak pernah,” kata Shamsul apabila ditanya peguam bela sama ada Najib mengarahkan beliau untuk memindahkan wang terbabit.

Apabila ditanya tentang tindakannya jika mengetahui akaun itu milik Najib, Shamsul berkata, “Saya akan tanya, mendapatkan kepastian daripada beliau.”

Sebagai rekod, Shamsil antara individu yang pernah mendedahkan kertas pendakwaan kes rasuah terhadap Najib pada 2015 yang disediakan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail.

Kertas pendakwaan itu pada awalnya disiarkan oleh pemilik blog Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Bagaimanapun kertas pendakwaan itu disahkan palsu oleh Pejabat Peguam Negara. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.