KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah ‘memaksa’ saksi ke-37 agar mengakui beliau mengetahui wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-20 hari ini.

Dr Shamsul memberitahu mahkamah bahawa perkara itu berlaku ketika beliau ditahan SPRM pada 2015.

Katanya, SPRM mahu beliau mengakui bahawa dirinya mengetahui tentang wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib menerusi akaun IPSB.

Dr Shamsul berkata, SPRM juga mengingatkan beliau tentang risiko didakwa atas kesalahan bersubahat dengan jenayah pecah amanah.

Shafee: Adakah mereka (SPRM) sentiasa mengingatkan anda tentang mungkin berdepan pendakwaan?

Shamsul: Ya.

Shafee: Adakah anda bimbang?

Shamsul: Tapi saya nafikannya… Saya tidak tahu siapa penerimanya. Saya beritahu mereka, adakah saya perlu beritahu kebenaran atau mahu saya menipu? Jadi saya beritahu mereka kebenarannya bahawa saya memang tidak tahu. Duit itu daripada (program) CSR (tangggungjawab sosial korporat).

Shafee: Apabila anda berita tahu mereka tentang kebenaran atau menipu, kenapa anda berkata sedemikian? Adakah mereka mahu anda bercakap tentang perkara lain?

Shamsul: Mereka mahu saya bercakap tentang perkara lain, tetapi saya tidak mahu menurutinya.

Shafee: Apa yang mereka mahu anda katakan?

Shamsul: Mereka mahu saya tahu siapa pemilik akaun peribadi itu. Itu perkara penting. Tetapi saya memang tidak tahu.

Pada 15 Mei lalu, Shamsul memberitahu mahkamah yang akaun bank Ihsan Perdana digunakan sebagai akaun transit untuk menyimpan wang sebelum dipindahkan.

Ini termasuk RM42 juta yang kemudiannya dimasukkan ke 2 akaun dengan 4 nombor terakhir 1880 dan 1906 di AmPrivate Banking-1MY yang didaftarkan di bawah nama Najib.

Shamsul berkata, Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia, Dennis See sudah meminta syarikatnya memasukkan wang itu ke akaun Najib, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti benefisiarinya.

Hari ini, beliau berkata, syarikatnya tidak akan menghantar wang itu jika beliau tahu ia adalah akaun Najib.

Terdahulu, beberapa saksi pendakwaan dilaporkan berkata, RM50 juta daripada Gandingan Mentari Sdn Bhd Bhd, sebuah anak syarikat SRC, dimasukkan ke akaun Ihsan Perdana. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.