SELEPAS rakyat mengeluh terhadap kenaikan mendadak bil elektrik, akhirnya kerajaan Pakatan Harapan akan membincangkan isu itu ke mesyuarat Kabinet hari ini.

Isu itu akan dibawa sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas beliau mengakui menerima banyak aduan tentang kenaikan bil elektril.

“Saya sendiri menerima banyak kiriman WhatsApp dan langkah yang saya akan ambil, esok yang mana saya percaya ramai rakan jemaah menteri lain juga akan membawa perkara ini (isu bil TNB).

“Kita terima reaksi dari seluruh negara. Jadi, apakah perkara menyumbang kepada keadaan itu… apa puncanya dan kalau kita sudah tahu sebabnya, sudah tentu kita akan cari jalan (penyelesaian).

“Malah, esok (hari ini) jemaah menteri boleh mendengar sendiri barang kali ada penjelasan lanjut daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin,” katanya.

Terdahulu, Bee Yin mengarahkan Suruhanjaya Tenaga menyiasat aduan pengguna mengenai bil elektrik yang tinggi yang dikenakan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata pihaknya menerima lebih 300 aduan dari seluruh negara berhubung isu bil elektrik tinggi itu dan Suruhanjaya Tenaga akan mengambil tempoh 14 hari untuk menyiasat sama ada aduan itu kesilapan TNB.

Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap TNB jika syarikat utiliti itu didapati tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990, iaitu ia perlu memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.