RAKYAT sudah hilang sabar dengan Tommy Thomas.

Laungan kemarahan agar Peguam Negara itu meletak jawatan semakin kerap kedengaran tidak kira di media sosial, akhbar atau melalui petisyen.

Satu per satu keputusan Tommy diragui. Antaranya termasuk pembebasan dua suspek kes bunuh warga Korea Utara, Kim Jong-nam, pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng dan terbaru arahan menggugurkan peguam Syazlin Mansor sebagai wakil arwah Muhammad Adib Mohd Kassim.

Itu belum kira kes-kes sampingan seperti yang dihadap oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Dato’ Azwanddin Hamzah yang diheret ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah sedangkan beliau hanya berhimpun demi memperjuangkan keadilan buat Muhammad Adib.

Muhammad Adib adalah anggota bomba yang terbunuh angkara keganasan perusuh dalam insiden rusuhan di kuil Seafield pada November tahun lalu.

Walaupun polis mengesahkan kematian Adib sebagai kes bunuh dan beberapa suspek sudah direman, tetapi Tommy berkeras untuk mengadakan inkues bagi menyiasat punca sebenar kematian anggota bomba itu.

Kesudahannya, selepas hampir empat bulan, inkues tersebut hanya memeningkan kepala rakyat dan tiada kesimpulan konkrit dicapai selepas puluhan saksi dipanggil.

Malah keputusan Tommy menggugurkan Syazlin sebagai peguam Adib secara tiba-tiba amat mengecewakan dan mengelirukan rakyat, kata Dato’ Azwanddin Hamzah.

Sebab itulah, Azwanddin yang juga merupakan Pengerusi Gagasan Tiga (G3) menyifatkan Tommy sebagai satu ancaman besar kepada undang-undang negara kerana tindakannya yang suka campur tangan dalam kes-kes berkepentingan dan membuat keputusan yang diragui.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pengguguran Syazlin sebagai satu usaha menutup kebenaran kes itu kerana rakyat tidak yakin dengan alasan yang telah diberikan menteri dan Tommy sendiri.

Azwanddin berkata, rakyat bimbang kedaulatan undang-undang negara ini akan tergugat jika Peguam Negara terus membuat keputusan yang gelogoh, terburu-buru dan tidak berfikir panjang sehingga akhirnya menampakkan kebodohan sendiri.

“Ramai pihak yang kecewa kerana kematian Adib tidak terbela hingga ke hari ini dan mengharapkan keadilan buat Adib setelah inkues kematian arwah dijalankan.

“Dimanakah kredibiliti Jabatan Peguam Negara, kerana Peguam Negara cuba dilihat adanya campur tangan di dalam hal ini.

“Adakah di kerajaan Pakatan Harapan ini undang-undang dipermainkan sesuka hati dan menjadikan undang-undang sebagai perisai untuk kepentingan peribadi pemimpin politik?” soal Azwanddin. – 29 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.