PRESIDEN Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengumumkan bahawa hampir 50 peratus wanita menyertai barisan Kabinet baharunya itu.

Ramaphosa turut memaklumkan bilangan menteri dikurangkan daripada 36 kepada 28

Beliau juga turut menggabungkan beberapa jawatan sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan selain untuk meningkatkan kecekapan.

“Buat pertama kali dalam sejarah negara, separuh daripada keseluruhan menteri adalah wanita,” katanya dalam satu siaran televisyen.

Beliau mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu sebagai presiden keenam Afrika Selatan yang dipilih secara demokratik, menurut laporan agensi berita Anadolu.

Ramaphosa sebelum ini berjanji untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara yang merosot, mewujudkan pekerjaan dan menghapuskan rasuah.

Dalam Kabinet baharunya, sebahagian besarnya terdiri daripada golongan muda.

Bekas aktivis anti-apartheid dan pemimpin kesatuan sekerja itu turut mengekalkan Tito Mboweni sebagai Menteri Kewangan dan Pravin Gordan memegang portfolio Menteri Perusahaan Awam.

Kedua-duanya sememangnya terkenal kerana usaha mereka memerangi rasuah dan mengurangkan perbelanjaan dalam kerajaan.

Malah antara perkara yang mengejutkan apabila beliau melantik pemimpin daripada parti pembangkang Patricia De Lille sebagai Menteri Kerja Raya dan Infrastruktur.

“Lantikan dibuat selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk pengalaman, kecekapan dan kepelbagaian demografi,” katanya. -NTHQiBord, 30 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.