MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seharusnya memainkan peranan yang penting di dalam memelihara harta orang Islam, termasuk berkenaan urusan zakat, kata timbalan presiden Institut Pemikiran Islam (IPTI).

Ustaz Ismail Mina mengkritik kepimpinan tertinggi majlis agama Islam negeri berkenaan yang dilihat lemah dalam mentadbir organisasi itu sehingga orang bukan Islam yang bertindak memberi sumbangan.

Malah katanya, cara pemikiran pentadbir ini perlu diubah kerana beliau berpendapat masih ramai lagi individu yang berkelayakan untuk mengagihkan bantuan zakat berkenaan.

“Cara pemikiran pemimpin (MAINPP) ini kena ubah.

“Di sini lemahnya pemikiran mereka, kenapa (sumbangan zakat) mesti melalui orang bukan Islam,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Malah Penasihat Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, itu turut mempertikai kaedah ini kerana ramai dalam kalangan agamawan yang lebih layak untuk memberi bantuan zakat ini.

Sebagai contoh imam, penceramah atau pemimpin setempat yang beragama Islam, katanya.

Tambah Ismail, wang sumbangan zakat yang terkumpul itu adalah hak milik orang Islam.

Malah melihat dalam aspek sosio budaya di negara ini kaedah berkenaan adalah tidak sesuai diaplikasikan.

Beliau turut berpendapat bahawa individu bukan Islam yang terbabit di dalam urusan sumbangan zakat tersebut sengaja bermain wayang.

Sedangkan orang itu juga di dalam Parlimen yang menentang berkenaan hukum agama Islam, ujarnya.

“Ini bukan harta mereka, harta zakat ini daripada majlis agama islam. Kita jangan tertipu dengan perbuatan mereka yang menghulurkan zakat.

“Kerana perkara ini menimbulkan kontroversi…. (sekiranya dilihat daripada segi) strategi politik, orang Islam sudah kalah,” katanya.

Ismail bagaimanapun menyokong pandangan mufti Pulau Pinang yang mengatakan harus bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf.

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan dua pemimpin daripada parti DAP memberikan kit bantuan zakat kepada golongan asnaf di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menerusi Facebooknya memuat naik gambar mengagihkan bantuan zakat pada Majlis Iftar di Kampung Makam, di kawasannya.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit pula memuat naik status menyampaikan kit bantuan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Namun melalui semakan yang dilakukan status yang dikemas kini oleh Chris itu telah dipadam ekoran pelbagai kritikan yang dilemparkan oleh netizen.

Perkembangan itu juga mendapat reaksi daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurutnya harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

“Ini hanya yang berkaitan dengan mu’amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.

“Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain,” katanya.  – NTHQiBord, 30 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.