BEBERAPA hari lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiada bonus buat warga peneroka Felda tahun ini.

Pengumuman itu mengejutkan warga Felda kerana tahun sebelumnya kerajaan Barisan Nasional yang dituduh sebagai kerajaan kleptokrat mampu memberikan insentif Aidilfitri RM450 kepada 112,653 peneroka Felda.

Selepas pengumuman yang mengejutkan itu, tiada seorang pun menteri Kabinet atau mana-mana pemimpin kerjaaan bersuara bagi pihak peneroka. Mungkin keputusan itu telah dipersetujui oleh Jemaah menteri.

Yang pasti kerajaan “yang tidak kleptokrat” gagal melakukan lebih baik daripada BN.

Bagi pihak Felda, hanya Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang merayu kerajaan PH agar bonus diberikan kepada para peneroka.

Namun desakan daripada pelbagai pihak sama ada blok pembangkang, mahupun pertubuhan bukan kerajaan, mungkin menyebabkan kerajaan DAP-PH menimbang semula keputusan mereka.

Apatah lagi sebelum ini, telah banyak kali berlaku “u-turn” dilakukan oleh kerajaan DAP-PH.

Bagi Azwan Omar, bekas Pegawai Khas Pegerusi Felda ketika zaman Tan Sri Shahrir Samad, ketika dihubungi menjelaskan Walaupun Azmin Ali mengumumkan tiada duit raya, tetapi beliau yakin polisi Kerajaan Pakatan Harapan yang banyak membuat u-turn kebelakangan ini, pasti peneroka Felda akan terima juga akhiranya.

“Saya lebih suka tunggu hingga saat terakhir apabila berbicara mengenai duit raya atau bonus raya kepada peneroka Felda.”

“Kerajaan PH kini bukan mahu melaksanakan perubahan yang dijanjikan, tetapi lebih fokus mahu mengekalkan kuasa dan menang PRU15. Sebab itu saya suka tunggu hingga saat akhir,” kata beliau.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, beliau memberitahu bahawa Mesyuarat Lembaga Felda pada hari Selasa 28 Mei 2019, tiada duit raya untuk peneroka.

Namun Mesyuarat Jemaah Menteri semalam 29 Mei 2019 memutuskan bahawa para peneroka terima RM300 setiap seorang sebagai duit raya.

“Dalam hal ini, keputusan Jemaah Menteri adalah keputusan mutlak. Saya masih menunggu pengumuman rasmi Felda mengenai perkara ini dan soalan saya, siapa tanggung peruntukan RM36.8 juta untuk duit raya ini? Felda atau Kementerian Kewangan?” tanya beliau.

Pada masa yang sama Azwan menyatakan rungutan dan aduan warga peneroka boleh dilihat dan diselami melalui perkongsian anak mereka di media sosial dan media arus perdana. Banyak group-group whatsapp dan aduan peribadi yang disampaikan oleh rakan-rakan di Felda.

Sebenarnya, rungutan dan aduan ini adalah kesinambungan daripada rungutan mereka pada harga Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (CPO) yang rendah sekaligus menjejaskan pendapatan bulanan mereka.

“Kalau harga BTS dan CPO tinggi, duit raya peneroka tidaklah menjadi isu sangat.”

“Sudahlah pendapatan rendah, apabila YB Menteri menjaga Felda umum tiada duit raya. Anak-anak nak balik, nak bagi makan apa? Biji Sawit goreng? Rendang isirong sawit? Come on lah kan?” sindir beliau.

Duit raya adalah satu perkara. Perkara pokok yang membelenggu para peneroka ialah iaitu harga BTS dan CPO yang rendah dan sehingga kini tiada penyelesaian konkrit di pihak Kerajaan PH.

Nampaknya, sejak kerajaan baharu DAP-PH memegang tampuk pemerintahan, sekolah-sekolah aliran Cina khususnya sekolah persendirian lebih beruntung berbanding masyarakat Felda. – 30 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.