PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak agar Peguam Negara. Tommy Thomas dipecat.

Wan Rohimi Wan Daud, Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan perkara itu dalam suatu kenyataan media hari ini.

Desakan itu berdasarkan rentetan keseluruhan perjalanan inkues sehinggalah kepada penarikan diri Peguam Syazlin Mansor yang mewakil Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, KPKT dan Jabatan Bomba.

“Prosiding inkues yang bermula sejak 18 Januari 2019 telah hampir ke penghujungnya. Mahkamah Koroner telah mendengar keterangan dari 29 saksi selama 36 hari prosiding.”

“Tiba-tiba negara dikejutkan dengan penarikan diri Peguam Syazlin. Penarikan diri itu menimbulkan misteri kerana menyebabkan pembatalan sambungan keterangan tambahan oleh Pakar Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrum Abd Wahid, seorang saksi yang dijangkakan akan menjadi saksi terakhir prosiding tersebut,” kata Wan Rohimi.

Kenyataan Akhbar Setiausaha Politik Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad bertarikh 28 Mei 2019 telah menjelaskan bahawa Peguam Syazlin telah diarahkan menarik diri dari mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta KPKT dari prosiding inkues tersebut, selepas menerima surat dari Peguam Negara bertarikh 23 Mei2019.

Beberapa jam selepas itu, Jabatan Peguam Negara juga telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar bagi menjelaskan ‘nasihat’ kepada KPKT dan Jabatan Bomba bagi menamatkan khidmat Peguam Syazlin, dengan menarik diri dari prosiding inkues.

Berdasarkan Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara, dua alasan utama yang menjadi sandaran kepada ‘nasihat’ tersebut dikeluarkan ialah kerana kononnya “wujud konflik kepentingan” untuk Peguam Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak (termasuk keluarga Adib).

Juga peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin dalam prosiding itu yang dikatakan seringkali mengambil pendirian yang bertentangan dengan ‘Pendakwaraya’, justeru telah mengakibatkan keaiban terhadap beliau atas kapasitinya selaku Peguam kepada Kementerian.

Pelantikan dan penyertaan Peguam Syazlin sedari awal prosiding inkues dimulakan, sejak 18 Januari 2019 tidak pernah dibantah oleh Peguam Negara, walau Peguam Negara mempunyai masa yang sangat luas untuk membantah.

Ia sebagaimana bantahan yang dilakukan terhadap Peguam-Peguam yang mewakili 50 penganut Hindu dan Jawatankuasa Kuil Sri Mariamman. Bantahan ini kekal walau selepas melibatkan prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Menurut Wan Rohimi, sepatutnya, ketekunan dan kerja-keras serta peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin untuk mengemukakan teori alternatif bagi kematian Adib, dengan mengemukakan bukti yang sangat kredibiliti melalui keterangan Prof Dr Shahrum Abd Wahid, perlu disanjung dan dipampas dengan sewajarnya.

Hal ini kerana usaha keras itu akan dapat membantu Koroner membuat pertimbangan yang lebih menyeluruh serta dapatan fakta yang lebih adil bagi menepati maksud sebenar kenapa inkues perlu dijalankan.

Amat malang lagi, alasan keempat yang dikemukakan oleh Peguam Negara tentang status Peguam Syazlin selaku isteri kepada Pegawai Akhbar Menteri KPKT, tanpa apa-apa penjelasan lanjut, hanya menyerlahkan niat serong untuk memperlekehkan peribadi Peguam Syazlin.

Alasan ini meletakkan denai pembunuhan karektor yang sangat tidak wajar dan tidak beretika. Mustahil keseluruhan Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui hubungan ini seawal Peguam Syazlin dilantik mewakili KPKT? Apakah kaitan hubungan suami isteri Setiausaha Akhbar Menteri dengan kepentingan prosiding inkues Adib?

Oleh hal yang demikian DPPM berpandangan bahawa tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang ‘mengarahkan’ KPKT dan Jabatan Bomba untuk menamatkan khidmat Peguam yang sedang mengendalikan prosiding inkues yang sudah berada pada penghujungnya, tanpa alasan yang munasabah bahkan kelihatan bersifat lepas fikir (afterthought) untuk menutup kelemahan sendiri.

Semua itu hanyalah pelengkap siri-siri kelemahan Peguam Negara dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini.

Justeru tiada pilihan yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas dipecat serta-merta dari jawatan tersebut! – 30 Mei 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.