JIKA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan  (PH) menjadikan kilang Lynas sebagai senjata mereka untuk menghasut rakyat bahawa kilang memproses nadir bumi itu memberi ancaman kepada penduduk di Gebeng, Pahang.

Tapi senjata mereka itu akhirnya memakan tuan apabila PH yang kini sudah bergelar kerajaan, terpaksa meneruskan operasi kilang tersebut.

Malaysia akan terus membenarkan Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) beroperasi di negara ini, walaupun sebelum ini syarikat itu mendapat kritikan hebat ekoran cara mereka menguruskan sisa buangan di Gebeng, Pahang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan lesen kilang itu akan diperbaharui walaupun syarikat dari Australia itu dikecam hebat kerana cara mereka menguruskan sisa buangan.

Malah Tun Mahathir berkata, negara akan kehilangan pelaburan yang sangat besar jika lesen syarikat itu tidak diperbaharui.

Bagaimanapun, tegas Tun Mahathir, kerajaan akan terus berunding dengan syarikat kilang pemprosesan nadir bumi itu termasuk memastikan sisa buangan yang terhasil diuruskan di negara lain.

“Kami berpendapat, kami perlu memperbaharui lesen mereka,” katanya.

Kabinet sebelum ini telah menangguhkan perancangan untuk memperbaharui lesen kilang itu yang akan tamat pada 2 September ini.

Keputusan itu dijangka mengundang kemarahan aktivis alam sekitar pro-PH terutamanya Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang merupakan pejuang tegar membantah operasi kilang Lynas.

Ahli PKR itu pernah mengetuai demonstrasi membantah operasi kilang itu pada 2011 dan tahun berikutnya.

Kegagalan Fuziah untuk sekurang-kurangnya menutup sementara operasi kilang itu dijangka merisikokan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kuantan ekoran keputusan kerajaan PH.

Fuziah dipercayai meraih sokongan penduduk Kuantan kerana pendiriannya yang tegas menentang operasi Lynas dan beliau dijangka kehilangan modal kempen untuk mempertahankan kerusinya itu pada PRU akan datang. – 30 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.