JEMAAH menteri perlu melakukan perbincangan dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial mahupun kepada pihak wartawan, kata pengerusi Bersatu Johor yang baharu.

Mazlan Bujang berkata menteri tidak boleh bertindak secara melulu memberikan pandangan mereka kerana ianya dibimbangi adalah bercanggah dengan ketetapan daripada kerajaan.

Tambah beliau, mesyuarat Kabinet perlu digunakan dengan sebaiknya di dalam memastikan barisan menteri memberi kenyataan yang sealiran.

“Kena berbincang dan terima banyak pandangan (daripada pegawai serta rakan-rakan menteri).

“Menteri ini tidak boleh buat kenyataan yang tidak dibincangkan terutama dalam berkenaan dasar baharu,” katanya.

Menurut Ahli Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu sekiranya amalan ini tidak dilakukan dalam kalangan mereka ianya akan memberi perspektif negatif kepada kerajaan Pakatan Harapan

Malah keadaan ini akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Supaya perkara ini tidak disalah anggap dan sebarang perkara yang berlaku adalah tanggungjawab bersama untuk pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas mengenai nasihat Tun Daim Zainuddin kepada jemaah menteri supaya melakukan perbincangan dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Bekas pengerusi majlis penasihat kerajaan itu berkata menteri harus menyemak dahulu bersama pegawai serta rakan-rakan dalam Kabinet.

Malah menurut Tun Daim lagi jemaah menteri perlu memberi kenyataan yang bersifat positif dan perlu elak daripada mengumumkan perkara yang memberi impak negatif khususnya kepada corak pemikiran rakyat.

“Kalau nak buat kenyataan, bincang tengok apa kesannya, bincang dengan pegawai kemudian bincang menteri dengan menteri.

“Bukan seronok-seronok buat kenyataan.

“Kalau positif keluar kenyataan, kalau negatif jangan keluar kenyataan, kalau negatif nak umum juga, bodoh lah,” katanya. – NTHQiBord, 30 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.