WALAUPUN PAS difitnah dan diserang bertubi-tubi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk momokan isu perpaduan PAS dan UMNO, parti itu tetap bergerak ke depan dan masih mendapat tempat di hati rakyat.

Terbaharu, Presiden PKR itu membuat ramalan bahawa muafakat PAS dan UMNO akan membuat sokongan kepada kedua-dua parti itu merosot menjelang PRU15 kelak.

Namun, bagi Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hasan, serangan itu tidak menjadikan PAS semakin lemah, malah berdasarkan jumlah pertambahan keahlian baru, semakin ramai yang menjadi ahli parti itu.

Menurut beliau berdasarkan rekod keahlian baharu PAS sejak tahun 2015 pada saat berdepan dengan politik fitnah yang dahsyat, jumlah keahlian terus bertambah – 2015 (41,431), 2016 (23,559) 2017 (41,813), dan 2018 (15,900).

Malah separuh tahun yang pertama 2019 bermula Januari hingga Mei ini, saat rakyat menyaksikan kerjasama PAS dan UMNO semakin erat , PAS telah merekodkan penerimaan ahli baharu seramai 29,691 orang.

“Saya percaya sokongan rakyat semakin meningkat. Tambahan pula muafakat bestari antara PAS dan UMNO serta parti-parti kompenan yang lain semakin utuh dan membuahkan hasil.”

“Bahasa politik yang mudah difahami oleh semua ialah apabila pemimpin PH mula resah dan gelabah, maka itu menandakan muafakat PAS dan UMNO ini sangat efektif untuk merubah lanskap politik tanah air sekali gus bakal menumbangkan PH dan kerajaannya,” kata beliau.

Bagi beliau, selayaknya Anwar merenung nasib diri, bagaimana masa depannya dan parti yang dipimpinnya pada hari muka yang kini telah mula dinilai negatif oleh rakyat.

Muafakat UMNO-PAS juga mendapat perhatian DAP. Parti itu juga sedar perpaduan itu mampu menggugat kerajaan DAP-PH. Sehinggakan DAP menyifatkan perpaduan itu akan membentuk Taliban Malaysia.

Tidak kurang juga pemimpin DAP-PH yang mengungkit bahawa PAS melawan UMNO hampir 60 tahun tetapi sanggup menggadai perjuangan sehingga berkawan dengan UMNO.

Mereka lupa bahawa selama itu jugalah melawan Tun Mahathir. Tetapi demi mengejar jawatan akhirnya menelan balik segala caci maki terhadap Mahathir.

Begitulah bimbangnya mereka terhadap gabungan itu sehingga sanggup menyerang hingga ke tahap memfitnah musuh politik demi mengejar agenda peribadi. – 30 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.