KISAH Ahli Parlimen Johor Bahru dari Parti PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir dan menjemput orang Islam lain ke majlis berbuka puasa di rumah ibadat Sikh, beberapa hari lalu menimbulkan pelbagai persoalan.

Majlis itu juga dilaporkan tidak diketahui Pengerusi Gurdwara Sahib, Manjit Singh dan Ahli Jawatankuasa yang lain. Menurutnya, majlis itu hanya diuruskan oleh salah seorang ahli biasa rumah ibadat terbabit.

Apakah motif beliau dan sebahagian penganut Islam lain ke majlis berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam? Adakah mahu menunjukkan kerharmonian agama dalam konteks Malaysia?

Atau adakah ini sebahagian ciri liberalisme kerajaan baharu DAP-PH?

Adakah majlis ini ada tujuan politik? Dakwah? Atau adakah langkah-langkah terancang untuk mengolah bahawa semua agama adalah sama?

Ketidakfahaman inilah menyebabkan kita wajar mengelakkan perkara ini dilakukan. Apatah lagi dalam keadaan tekanan pluralisme dan liberalisme yang melanda sejak DAP-PH menjadi kerajaan pusat.

Bukan bermaksud umat Islam menolak interaksi harmoni antara kaum. Malah Islam mengajar umat sentiasa menghormati sesama insan walaupun berlainan akidah. Tetapi ada had dan batas yang mesti difahami.

Perkara ini tidak akan menjadi polemik, jika Akmal memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Boleh sahaja Beliau dan penganut agama lain mengadakan majlis berbuka puasa di tempat awam dan terbuka. Reaksinya masyarakat mungkin berbeza.

Walaupan Akmal memberitahu bahawa ini kali kedua beliau berbuka puasa di rumah ibadat yang sama, adalah lebih baik mengelakkan fitnah dengan tidak berbuat demikian.

Adalah dicadangkan Akmal dengan kerjasama masyarakat bukan Islam mengadakan rumah terbuka hari raya berbanding mengadakan majlis berbuka puasa. Itu mungkin lebih sesuai.

Buatlah di tempat awam yang tidak membabitkan mana-mana rumah ibadat. Itu lebih menunjukkan keharmonian masyarakat yang berbeza agama, seperti amalan rumah terbuka yang sering diadakan sebelum ini.

Ada juga yang mempertahankan tindakan Akmal dengan menunjukkan kes yang hampir serupa berlaku di Dubai.

Bukan semua yang berlaku di negara lain sesuai dengan suasana di Malaysia. Sebagai contoh, jika Amerika Syarikat mengiktiraf LGBT maka kita mahu mengambil langkah yang sama? Sudah tentu tidak.

Umat Islam Malaysia hari ini sedang memerhati dan menilai segala tindak-tanduk para pemimpin yang baru diberi mandat.

Semakin hari semakin menyesakkan dada dan jangan marahkan rakyat jika anda menjadi kerajaan sepenggal. – 30 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.