HARI Raya Aidilfitri bakal disambut umat Islam kurang daripada lima hari lagi.

Pasti ramai dalam kalangan kita masih tercari-cari pakaian baharu bersempena dengan perayaan ini.

Semestinya di dalam persiapan ini kita akan membayangkan kemeriahan hiasan di pusat membeli belah sambil diselang-selikan dengan alunan lagu raya yang menggamit perasaan.

Namun begitu, berdasarkan pemerhatian wakil kami ke pusat beli belah terkemuka negara kemeriahannya hanya sederhana.

Keadaan ini berlaku bukanlah disebabkan kurangnya pengunjung ke sana, akan tetapi dekorasi yang boleh disifatkan sebagai biasa-biasa sahaja.

Malah sekiranya dilihat kembali ianya boleh dikatakan seperti tiada perayaan penting yang bakal disambut oleh masyarakat.

Walhal, Hari Raya Aidilfitri ini adalah perayaan utama yang disambut oleh majoriti rakyat terutama yang beragama Islam.

NTHQiBord berpeluang melakukan tinjauan di  sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan kebanyakan warga kota.

Dekorasi sempena hari raya kali ini boleh dikatakan agak hambar.

Pengunjung hanya dapat melihat satu replika seperti masjid yang boleh dikatakan sebagai hiasan tangkap muat.

Pemerhatian kami juga mendapati tiada apa yang menarik pun dengan hiasan berkenaan.

Tidak tahu di mana silapnya, namun kami berpeluang mendapatkan reaksi daripada pengunjung berkenaan perkara ini.

Pandangan sama turut dikongsi oleh bekas guru, Maryam Zainudin.

Melalui pengamatannya, beliau turut melahirkan rasa janggal dengan situasi ini.

Katanya, sekiranya pelancong asing datang mereka tidak akan menyedari bahawa rakyat Malaysia ketika ini akan menyambut satu perayaan besar.

“Kalau warga asing yang datang ni, mereka rasa biasa-biasa sahaja (tidak tahu ada sambutan hari raya).

“Saya rasa apa yang kurang di sini adalah cara mereka hias, datang sini pun sebab banyak jualan murah,” katanya yang merupakan seorang pesara.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung turut meluahkan rasa terkilan dengan cara hiasan yang disifatkan sebagai jauh berbeza di antara sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan perayaan lain.

Ryan Lee yang bekerja sebagai akauntan ketika ditemui berkata, dia masih ingat lagi dekorasi semasa perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas.

Menurutnya keadaan ketika itu lebih meriah kerana banyak hiasan yang menarik dan orang berpusu-pusu mengambil gambar.

“Ini adalah hari raya, kenapa lain sangat dengan sambutan raya lain.

“Sepatutnya pihak pengurusan tempat ini lebih prihatin. Jangan bezakan apa-apa.

“Saya hanya lihat ada replika macam masjid di bahagian dalam… di luar pun, tapi tempat lain (pusat membeli belah lagi)  lagi cantik,” katanya.

Tidak pasti di mana silapnya, tetapi pandangan yang diberikan pengunjung di sana ada benarnya.

Pusat membeli belah bukan hanya berperanan sebagai tempat untuk masyarakat mendapatkan barangan keperluan.

Tetapi juga dianggap sebagai ‘imej’ untuk setiap perayaan yang disambut di dalam usaha menarik pengunjung datang ke sana.

Percaya atau tidak sekiranya bulan hadapan adalah perayaan Krismas, dua bulan sebelum itu pelawat akan disajikan dengan pelbagai dekorasi yang menarik.

Walaubagaimanapun, perkara ini adalah di luar kawalan kita. Tetapi diharapkan selepas ini pihak yang bertanggungjawab perlu lebih peka dengan keadaan semasa.

Perlu lebih adil di dalam mempromosikan perayaan yang disambut oleh rakyat, jangan hanya tahu kaut keuntungan semata. – NTHQiBord, 31 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.