LEPAS ‘menyerang’ menteri-menteri Pakatan Harapan, Tun Daim Zainuddin kini beralih untuk beri nasihat kepada rakyat Malaysia.

Penasihat kerajaan itu menegaskan bahawa rakyat perlu mengutamakan negara dalam usaha memupuk perpaduan dan memajukan negara.

Kata Tun Daim, setiap rakyat Malaysia perlu ada pertimbangan yang jelas tentang betapa pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara.

“Saya percaya nombor satu, Perlembagaan itu penting. Kita mesti hormat Perlembagaan, Rukun Negara.

“Selain itu, kita mesti ingat, pentingkan kita ini orang Malaysia. Kalau kita pentingkan Malaysia dulu, Insya-Allah, negara akan selamat,” katanya dalam temu bual dengan sebuah syarikat penyiaran berbayar.

Orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu menegaskan bahawa negara lebih penting daripada agama walaupun terdapat pihak yang memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak, serta mereka yang mengatakan agama adalah penting.

“Memang agama penting tapi negara lebih penting. Sebagai rakyat Malaysia kita kena pentingkan negara Malaysia dulu,” katanya.

Sebelum ini Tun Daim menegur banyak masalah yang berlaku dalam kerajaan pada masa ini adalah kerana sikap menteri yang tidak pandai berkomunikasi.

Beliau menasihatkan agar menteri dan pegawai mereka berbincang sebelum menghebahkan sesuatu.

“Apa nak kata kena fikir apa kesan dia. Apa reaksi rakyat yang boleh kita jangkakan.

“Bincang dengan setiausaha akhbar. Kalau kita tahu kesannya tidak baik tapi kita sebut juga dalam kenyataan, maka itu bodohlah,” katanya. – 31 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.