DESAKAN agar Tommy Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara semakin kuat apabila Gerakan Pembela Ummah menghantar memorandum kepadanya hari ini.

Kumpulan pertubuhan Melayu Islam itu menyifatkan Tommy sudah hilang integriti sebagai Peguam Negara kerana membuat keputusan yang diragui termasuk dalam isu ICERD, Statut Rom dan terbaharu inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ummah berkata Tommy juga memalukan negara, sistem keadilan dan Jabatan Peguam negara kerana caranya mengendalikan isu-isu penting terutamanya melibatkan soal orang Melayu dan Islam yang merupakan majoriti di negara ini.

Jika tiada perkembangan positif daripada memorandum yang dihantar, Ummah akan mengadakan satu lagi himpunan raksasa bagi menuntut keadilan buat Adib.

Ummah menegaskan tindakan itu sebagai langkah membersihkan negara ini daripada kecelaruan yang dicetuskan Peguam Negara yang dilihat tidak sesuai memegang jawatan itu.

Dalam perkembangan sama, sudah lebih 20,000 tandatangan dikumpulkan dalam petisyen untuk menekan Tommy letak jawatan sejak petisyen itu dibuka dua hari lalu.

Kelmarin, UMNO dan PAS juga bersatu untuk mendesak Tommy berundur sebelum kemarahan rakyat tidak dapat lagi dibentuk.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata rakyat sedang memerhatikan setiap butiran kes Muhammad Adib ini kerana ia melibatkan kematian seorang penjawat awam ketika bertugas.

Dan apabila wujud percanggahan antara perakuan pihak polis dengan pejabat Peguam Negara, rakyat ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku.

Oleh itu UMNO mendesak agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengendalikan kes itu.

“Perkara ini serius dan tepat kerana dilihat wujud elemen tidak percaya kepada prosiding inkues Muhammad Adib, disebabkan berlaku banyak tindakan campur tangan yang meragukan,” katanya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) juga mendapati tindakan Tommy menamatkan khidmat peguam Adib, Syazlin Mansor tanpa alasan konkrit hanya menunjukkan kelemahan Peguam Negara itu dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini.

“Justeru tiada pilihan yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas dipecat serta-merta dari jawatan tersebut,” kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang & Hak Asasi Manusia DPPM, Wan Rohimi Wan Daud. – NTHQiBord, 31 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.