TUN Dr Mahathir Mohamad wajar diberi masa secukupnya untuk memulihkan ekonomi Malaysia, bukan sekadar tiga tahun yang dimintanya sebelum ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata beliau memerlukan tempoh tiga tahun bagi mengurangkan hutang negara kepada paras siling 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding paras semasa 80 peratus.

Mengulas lanjut kenyataan Tun Mahathir itu, Senator Tan Sri Ibrahim Abu Shah menyatakan bahawa Tun Mahathir wajar diberi masa secukupnya untuk memulihkan ekonomi Malaysia.

“Secara peribadi saya berpandangan, dua tahun tidak mencukupi. Sebagai Perdana Menteri dia bertanggungjawab untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik.”

“Jangan ditetapkan tempoh sama ada tiga tahun atau satu penggal, selagi beliau dapat menjalankan tugas terbaik untuk rakyat,” kata beliau.

Ibrahim juga menegaskan jika Mahathir diminta turun selepas dua tahun, dalam keadaan negara yang belum stabil mungkin berlaku kekecohan bukan sahaja ekonomi bahkan perkara lain juga.

Mahathir menyatakan bahawa perang dagang antara AS dan China serta laporan negatif media antarabangsa turut memberi sumbangan kepada kelesuan ekonomi Malaysia.

Kerajaan terdahulu turut dipersalahkan kerana meminjam banyak wang sehingga mengakibatkan hutang negara terlalu tinggi.

Walaupun menyalahkan kerajaan terdahulu, kerajaan DAP-PH telah meminjam bon samurai RM7.3 bilion dari Jepun. Mereka juga mengambil RM82 bilion dari Petronas.

Bloomberg pula melaporkan bahawa Malaysia kini melihat Eropah sebagai tempat baru untuk meminjam wang.

Dalam perkembangan terkini, ringgit terus turun berbanding dolar AS pada permulaan perdagangan pada hari Jumaat (31 Mei 2019), memandangkan dolar terus kukuh, walaupun landskap risiko global masih tidak menentu.

Pada 9 pagi Jumaat, ringgit turun kepada 4.1950/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1890 /1940 pada penutup hari Khamis.

Logiknya, dua tahun sudah tentu mencukupi. Namun adakah tempoh tiga tahun yang disebut Mahathir itu bermaksud beliau akan terus menjadi Perdana Menteri Malaysia sehingga sasaran yang dimaksudkan?

Atau menyerahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi mengikut pelan yang dirancang beliau? – 31 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.