PERKIRAANNYA mudah, kepentingan undi mengatasi segala-galanya.

Dalam kes yang membabitkan peniaga sayur awam di Pasar Awam Parit Buntar yang disaman oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) baru-baru mendapat pembelaan segera Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Bukan itu sahaja, beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu seolah-olah bertujuan mensabotaj pentadbiran kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) dengan cuba membangkitkan kemarahan rakyat.

Tindakan pantas Mujahid ini mengingatkan kita kepada isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW suatu ketika dulu. Beliau juga pantas “mempertahankan” pihak yang menghina nabi itu. Beliau menggesa supaya pihak berkuasa berlaku adil terhadap penghina dalam siasatan dan menjatuhkan hukuman.

Pihak MDK telah pun menafikan bahawa tindakan mereka itu suatu bentuk sabotaj. Mereka hanya menjalankan tugas yang sepatutnya.

Sebenarnya, sebelum menuduh PBT mensabotaj, beliau wajar bertemu dahulu dengan penguatkuasa untuk mendapatkan maklumat.

Adakah kemungkinan peniaga telah diberi amaran berkali-kali kerana melanggar peraturan? Tindakan akhir adalah saman kerana gagal memberi kerjasama.

Sememangnya diketahui umum, meletakkan barang-barang perniagaan di luar premis adalah suatu kesalahan, tentunya saman yang dikeluarkan mempunyai alasan yang kukuh.

Pihak PBT wajar diberikan ruang untuk melaksanakan peraturan demi menjaga keseluruhan aspek sosial masyarakat.

Jika tiada tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga yang melanggar peraturan, bermakna semua peniaga lain ada hak untuk melakukan kesalahan yang sama.

Menggunakan alasan sebelum ini perbuatan meletakkan barangan di luar premis tidak diambil tindakan bukanlah hujah yang wajar.

Sepatutnya, jika benar amalan itu berlaku sebelum ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan DAP-PH meletakkan kembali undang-undang itu pada tempatnya.

Sebelum ini, mereka mendakwa pelbagai salah laku kerajaan BN dalam mentadbir. Sekaranglah masanya untuk membuktikan kerajaan baharu lebih baik dan berintergriti.

Jika tidak, tiada maknanya bertukar kerajaan kalau segala undang-undang boleh diletak ketepi asalkan ada hubungan baik dengan wakil rakyat.

Benar, budi bicara dan rundingan wajar dilaksanakan sebelum sesuatu tindakan diambil, tetapi semua itu ada hadnya.

Rakyat Malaysia tidak mahu kejadian seperti segelintir penyokong parti membuat pemeriksaan terhadap kereta polis berulang.

Pemimpin hari ini mempertahankan “rakyat” sehingga melampaui undang-undang dan penguatkuasa.

Janganlah kerana takut kehilangan undi anda sanggup mengenepikan keluhuran undang-undang. – 2 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.