JIKA benar UMNO akan meminda Perlembagaan parti untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada beberapa persoalan akan timbul.

Antaranya, ke mana hala tuju kedua-dua tokoh politik yang terpalit kes mahkamah itu untuk terus bertapak dalam dunia politik negara.

Najib dikatakan meraih momentum dalam kes mahkamah dan popularitinya agak meningkat sejak fenomena bossku memenangi semula hati rakyat terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Malah dalam tiga pilihan raya kecil di Semenanjung menyaksikan kemenangan kepada Barisan Nasional sedikit sebanyak adalah hasil sumbangan pengaruh Najib yang bertubi-tubi membangkitkan isu rakyat dan lantang menyerang kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jika Najib disingkirkan dari UMNO, tidak mustahil parti itu akan menerima kesan dan sokongan orang Melayu akan menurun.

Untuk meneruskan karier dalam politik, bekas perdana menteri itu juga mungkin terpaksa bertanding sebagai ahli politik bebas kerana tidak mungkin ada parti lain yang sanggup menerimanya selain UMNO.

Bagi Zahid pula, peluangnya untuk membuat ‘comeback’ dalam politik agak tipis kerana popularitinya tidak se-gah Najib.

Penglibatan Zahid dalam media sosial juga kurang memberi impak selain tidak membangkitkan isu-isu kelemahan kerajaan PH dengan serangan-serangan berfakta.

Malah komen-komen netizen dalam media sosial apabila Zahid mahu menyuarakan hasrat kembali memegang jawatan Presiden UMNO juga tidak baik buatnya.

Orang Melayu kebanyakkannya menolak Zahid untuk menerajui parti dan adalah lebih baik buatnya melepaskan tugas presiden kepada Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.

Dalam UMNO sendiri ada kem yang menolak Zahid mengambil semula tugasnya sebagai presiden selagi tidak membersihkan imejnya di mahkamah.

Kerjasama UMNO-PAS juga mungkin menerima terjejas terhadap sebarang keputusan Perlembagaan parti.

Ada kalangan PAS tidak mahu kedua-dua pemimpin itu dalam UMNO, dan jika mereka kekal, kerjasama dua parti Melayu dan Islam itu akan dibebani liabiliti kes mahkamah Najib dan Zahid.

Kedua-dua pemimpin berpengalaman UMNO itu dijangka akan diketepikan oleh UMNO selepas Tok Mat dipercayai mencadangkan pindaan Perlembagaan parti untuk menyingkirkan Najib dan Zahid.

Namun Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan ada menerima cadangan itu, namun masih tiada kata putus dibuat kerana perkara itu masih di peringkat pengesyoran.

Najib sendiri sudah menjelaskan isu itu menerusi kenyataan dalam Facebook bahawa tiada pihak boleh memecahkan kekuatan pemimpin parti tersebut.

Kepastian tentang usaha menyingkirkan Najib dan Zahid hanya diketahui pada mesyuarat agung luar biasa parti pada perhimpunan agung UMNO pada November ini. – NTHQiBord, 4 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.