SEJAK setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, amat jelas terpancar amalan kronisme yang makin menebal.

Apatah lagi perdana menteri kita pada ketika ini adalah Tun Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah dilabel sebagai pengamal kronisme yang tegar.

Sikap beliau sejak berada dalam kerajaan untuk tempoh masa 22 tahun lalu itu terbawa hingga ke sekarang.

Keadaan ini terbukti apabila beliau membawa kembali rakan-rakan lama untuk bersama dengan beliau kononnya mahu menyelamatkan negara ini daripada mengalami bankrap.

Lihat sahaja siapa kroni utama beliau, yang sentiasa bersuara di media massa mempertahankan kerajaan, semestinya Tun Daim Zainuddin.

Persahabatan antara mereka memang tidak dapat dinafikan lagi apabila Tun Daim dilantik menjadi pengerusi majlis penasihat kerajaan.

Agak janggal apabila difikirkan kembali negara ini dipandu oleh ‘orang lama’ yang pernah mentadbir kerajaan suatu ketika dahulu dengan amalan kronisme.

Bukankah mereka perlu memberi peluang kepada orang yang lebih muda untuk mentadbir negara?

Berbalik kepada sikap kronisme ini, apa yang bagus sangat dengan bekas menteri kewangan itu sehinggakan dia diberi kepercayaan daripada perdana menteri untuk pergi ke luar negara.

Lihat sahaja pada tahun lalu, Tun Daim pergi ke China untuk mengadakan rundingan awal selepas kerajaan Malaysia bertukar tangan.

Yang pastinya, siapa Tun Daim ketika ini? Memang betul beliau pernah berada di Kabinet suatu ketika dahulu dan berpengalaman menjadi menteri kanan.

Namun yang pasti zaman beliau sudah berlalu, malah pada waktu ini dia tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

Jauh sekali sebagai menteri. Jadi untuk apa Tun Mahathir mengarahkan sahabat baiknya itu ke luar negara menguruskan hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Bukankah sekiranya membabitkan soal hubungan luar adalah di bawah portfolio menteri luar.

Di manakah Datuk Saifuddin Abdullah? Tidak rasa tergugatkah beliau melihat situasi ini.

Melihat kepada perkembangan ini, dapat kita simpulkan bahawa perdana menteri sendiri tidak percaya kepada kredibiliti Kabinetnya.

Oleh itu, beliau pun ambil peluang untuk letakkan rakannya itu untuk di satu kedudukan yang kononnya penting kepada negara.

Jadi apa lagi kita boleh buat, rakyat sudah bersuara dan memilih Tun Mahathir yang terkenal dengan amalan kronismenya.

Sementara beliau jadi perdana menteri ini, bolehlah kita tengok siapa lagi kroni yang beliau tengah jaga sekarang ini. – NTHQiBord, Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.