TERKEJUT. Marah. Rasa ditipu. Makin menyampah.

Itu antara reaksi rakyat terhadap pelantikan Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Tanpa sebarang khabar angin, tiba-tiba peguam pro-PKR itu dilantik menggantikan Datuk Seri Shukri Abdull yang dipendekkan tempoh perkhidmatannya lebih awal.

Pelantikan itu sudah terang-terang bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membuat lantikan politik bagi menerajui mana-mana agensi kerajaan.

Latheefa menegaskan beliau sudah letak jawatan sebagai ahli PKR. Tetapi adakah itu satu jaminan SPRM akan bebas daripada sebarang pengaruh politik dan agenda yang berkepentingan?

Itu antara kebimbangan rakyat terhadap kemampuan agensi penguatkuasa itu untuk terus berfungsi sebagai sebuah badan kerajaan yang bebas dari sebarang unsur-unsur politik.

Latar belakang Latheefa juga menjadi pertikaian rakyat kerana cara pemikirannya yang liberal dan konsisten memperjuangkan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgenders (LGBT).

Kelantangannya mengkritik undang-undang syariah seperti pelaksanaan hukuman rotan bagi pesalah lesbian di khalayak ramai juga menjadi persoalan sama ada Latheefa layak untuk mengetuai SPRM.

Latar belakangnya sebagai peguam bukan lesen untuk Latheefa dilantik sebagai ketua SPRM kerana beliau tidak berkhidmat dalam kerajaan dan tidak mempunyai latar belakang sebagai anggota penguatkuasa dalam mana-mana agensi kerajaan.

Pelantikannya itu juga menafikan hak ramai lagi pegawai SPRM yang lebih layak dan mengetahui lebih mendalam tentang selok-belok agensi antirasuah itu.

Kakitangan SPRM sendiri tidak bersepakat mengenai pelantikan Latheefa sebagai ketua mereka.

Ada sumber menggambarkan peguam hak asasi itu sebagai seseorang yang berprinsip dan boleh membaiki imej SPRM.

Tetapi ada juga Sumber berkata beberapa kakitangan bimbang dengan perubahan kepimpinan itu dan tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini

Ternyata pelantikan ini bercanggah dengan kehendak rakyat yang mahukan perubahan lebih baik seperti dijanjikan PH sebelum mendapat kuasa.

Selamat datang ke Malaysia Baharu! – 4 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.