PADAmulanya saya menyangka berita perlantikan Latheefa Koya sebagai ketua baru SPRM adalah “fake news”.

Ataupun ianya satu lawak jenaka menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tetapi setelah menyemak sebuah portal berita perlantikan itu adalah benar.

Saya bukan hendak mempertikaikan kemampuan, kebolehan atau integriti Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu tetapi beliau adalah orang politik.

Saya tidak tahu jawatan beliau sekarang tetapi beliau pernah memegang pelbagai jawatan di dalam PKR.

Bukankah sebuah badan yang akan turut menyiasat orang politik sepatutnya tidak diketuai oleh orang politik?

Walaupun Latheefa mungkin dapat berlaku adil namun ia pasti akan membuka ruang kepada pelbagai dakwaan apabila berlaku pendakwaan atau apabila terdapat kes yang dilepaskan.

Sama ada wajar atau tidak sesuatu dakwaan itu namun ia tetap akan mewujudkan pelbagai persepsi.

SPRM akan sentiasa dipertikaikan. Ini tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan itu. Ianya juga tidak baik untuk imej negara di peringkat antarabangsa.

Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya melantik seorang tokoh yang berkecuali iaitu tanpa sebarang hubungan dengan mana-mana politik sama ada di masa kini atau di masa yang lampau dan yang dihormati oleh masyarakat.

Saya yakin terdapat ramai yang memenuhi kriteria tersebut. – 4 Jun 2019.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Naib Presiden PAS.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.