SEPANJANG Ramadhan tahun 2019 ini, banyak sungguh polemik yang membabitkan kerajaan baharu DAP-PH.

Antara yang terhangat termasuklah Ahli Parlimen yang mempelawa orang ramai berbuka puasa di rumah ibadat Sikh dan kisah wakil rakyat DAP bukan muslim mengagih bantuan zakat.

Perbuatan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang turut mempelawa masyarakat muslim lain berbuka puasa puasa di Gudwara Sahib bukan sahaja mencetuskan kemarahan netizen malah mengundang dukacita Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar juga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana, Tuanku menyatakan sungguhpun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, Akmal tetap ingkar dan meneruskan majlis itu atas dasar toleransi dan perpaduan antara agama, walhal sebagai pemimpin, seharusnya beliau sedar, tahu dan faham membezakan tindakan politik serta agama.

Antara titahnya, bagi memastikan keharmonian kaum dan agama, baginda secara konsisten dan berulang kali melarang keras serta tidak membenarkan apa-apa aktiviti politik yang dijalankan dengan menggunakan agama Islam sebagai modal politik mereka.

Baginda turut menyatakan bahawa dirinya dan keluarga kerap hadir meraikan perayaan kaum serta agama lain di tempat mereka, namun bukan membawa amalan ibadah Islam di premis mereka sebagaimana dilakukan Ahli Parlimen berkenaan.

Selain itu, perbuatan Akmal turut ditegur oleh mufti dan ramai agamawan dan dianggap tidak memahami sensitiviti agama.

Ada juga kalangan masyarakat melihat perbuatan ini adalah hasil pemikiran liberal kerajaan DAP-PH yang menyamaratakan semua agama.

Dalam masa yang sama parti DAP yang sebelum ini tegas menentang apa-apa yang berkaitan Islam termasuk dalam isu pelaksanaan undang-undang syariah, isu hijab, isu duit raya sebagai rasuah, isu azan dan banyak lagi, tiba-tiba begitu rajin menggantikan petugas zakat membuat agihan.

Sejak bila DAP yang begitu garang menyerang Islam tiba-tiba berubah 360 darjah. Atau adakah “udang di sebalik mi”?

Bukankah tugas agihan itu sepatutnya dilakukan oleh pegawai zakat atau sekurang-kurang oleh umat Islam sendiri.

Tidak lain, semua lakonan ini dilakukan demi kepentingan politik. Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka turut perihatin kepada umat Islam.

Mereka menggunakan agama demi kepentingan politik. Pada sudut yang lain merekalah yang paling lantang menyerang Islam.

Semakin jelas, siapa sebenarnya yang dikatakan penunggang agama. Mereka hanya memilih mana-mana yang ada kepentingan politik, selain itu akan ditentang habis-habisan.

Akhirnya, memperlihatkan Islam di bawah kerajaan baharu adalah Islam yang cacamarba. Islam dihina dan diperlekeh tanpa ada tindakan yang wajar. Semua ini mencetuskan lagi kebimbangan kalangan majoriti rakyat beragama Islam di negara ini. – 3 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.