PELANTIKAN peguam pro-PKR, Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan seribu satu persoalan.

Lupakan dulu soal latar belakangnya berasal dari Kerala, India atau pendiriannya terhadap hak LGBT dan berfikiran liberal.

Pelantikan mengejut Latheefa ini mungkin ada kaitan dengan ‘perang dingin’ antara Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jawatan perdana menteri.

Tun Mahathir sudah berjanji untuk melepaskan jawatan itu kepada Anwar dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Tapi berdasarkan pergerakan Anwar dan orang suruhanannya ketika ini, tempoh peralihan kuasa itu mungkin lebih cepat kerana banyak tekanan dilemparkan kepada Tun Mahathir secara senyap.

Terbaharu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip tampil dengan kenyataan keras apabila melabelkan Datuk Johari Abdul dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR, yang sering mendesak agar Tun Mahathir menetapkan tarikh bila penyerahan jawatan kepada penggantinya akan dibuat, seperti anjing sedang menyalak.

Jadi tidak mustahil, Latheefa menjadi bidak Mahathir untuk melambatkan atau menutup peluang Anwar menjadi perdana menteri kerana peguam itu merupakan kem Datuk Seri Azmin Ali yang pro-Mahathir.

Seperti yang kita tahu, PKR berpecah kepada dua kem iaitu Azmin dan Anwar. Azmin dikatakan menjadi sandaran Mahathir untuk mengekang pengaruh Anwar dalam PKR, sekali gus memastikan Presiden parti itu tidak menjadi perdana menteri.

Ada spekulasi dalam media sosial mengatakan Latheefa akan bertindak sebagai buah catur Tun Mahathir untuk menjatuhkan Anwar sama ada menerusi tuduhan salah guna kuasa atau rasuah.

Kebenarannya sukar disahkan tetapi tidak boleh disangkal atau dinafikan. Ini kerana pelantikan Latheefa mendapat restu daripada Tun Mahathir sendiri.

Kenapa Tun Mahathir perlu mengambil risiko untuk melantik ahli PKR menjadi ketua SPRM sedangkan parti itu sebelum ini konsisten menentang beliau sejak reformasi 1998.

Malah Anwar sebelum ini juga sering mendedahkan salah laku Tun Mahathir ketika bergelar Perdana Menteri ke-4 dan tidak mustahil beliau akan mengheret bekas musuhnya itu ke mahkamah jika bergelar perdana menteri.

Apa pun yang akan berlaku selepas ini, drama politik Malaysia ini semakin menarik untuk diikuti. Jadi pastikan bekalan bertih jagung anda mencukupi. – NTHQiBord, 5 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.