MAKIN ramai yang membantah keputusan Tun Mahathir Mohamad melantik peguam pro-LGBT jadi ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bukan saja dalam kalangan pembangkang, tetapi pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak puas hati dengan keputusan Tun Mahathir itu terutamanya dari parti PKR dan DAP

Datuk Saifuddin Nasution dan Datuk Seri Azmin Ali dari PKR dan Gobind Sigh Deo dari DAP antara menteri yang ‘terkejut’ apabila mengetahui pelantikan Latheefa itu.

Tidak pelik jika ketiga-tiga menteri itu tidak mengetahui pelantikan Latheefa kerana Kabinet kerajaan mungkin tiada ‘WhatsApp group’ seperti yang pernah dibangkitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Itu sebabnya sering berlaku percanggahan komunikasi antara menteri PH apabila satu-satu isu berbangkit.

Keadaan ini menunjukkan Kabinet PH tiada kesepakatan dalam mencapai sesuatu keputusan penting seperti pelantikan Latheefa dan keadaan ini paling menguntungkan buat Tun Mahathir sebagai perdana menteri.

Ini kerana beliau mempunyai kuasa untuk melantik sesiapa saja mengetui agensi antirasuah itu tanpa perlu merujuk kepada Kabinet.

Hal ini bercanggah dengan janji manifesto PH untuk memastikan pelantikan ketua SPRM mendapat persetujuan dalam Parlimen.

Akibat tindakan Tun Mahathir itu, kumpulan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mendesak kerajaan agar kuasa perdana menteri dikurangkan dalam proses melantik jawatan penting dalam kerajaan.

Kumpulan itu mahu proses pelantikan merangkumi jawatankuasa pencalonan yang menerima senarai calon daripada semua pihak berkepentingan termasuk orang awam sebelum nama mereka dicadangkan kepada Agong.

Gali kubur sendiri atau selamatkan diri?

Jika diteliti, keputusan Tun Mahathir melantik Latheefa ibarat menggali kubur sendiri kerana beliau sendiri tahu tindakannya itu akan mengundang kecaman banyak pihak.

Ramai pihak mengatakan Tun Mahathir seolah-oleh mahu mengembalikan cara pemerintahan kuku besinya ketika menjadi perdana menteri keempat.

Tidak kurang juga yang mengecam keputusan Tun Mahathir sama seperti amalan kerajaan terdahulu dan gagal menunaikan janji manifesto PH.

Tapi jika dilihat dari strategi politik, Tun Mahathir mungkin membina benteng untuk dirinya daripada diheret SPRM dengan mudah.

Dengan keadaan kerusi Parlimen yang tidak menentu dan tiada parti dominan, agak sukar untuk mencapai keputusan sebulat suara bagi ketua SPRM yang baharu selepas ini jika cadangan Bersih dilaksanakan.

Sebagai contoh, jika Anwar menggantikan Tun Mahathir, beliau tidak boleh melantik calon yang pro kepada dirinya dan presiden PKR itu mungkin tidak dapat mengheret perdana menteri itu ke muka pengadilan seperti yang dimahukan.

Seperti yang diketahui, Anwar pernah mendedahkan salah laku Tun Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat dan tikda mustahili beliau akan mengorek semula segala kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin Bersatu itu.

Ini mungkin satu percaturan yang hebat untuk Mahathir jika undang-undang yang akan menjamin kebebasan institusi kerajaan terpilih digubal seperti dimahukan Bersih.

Beliau mungkin terselamat dari dikenakan tindakan undang-undang selepas menyerahkan kuasa kepada Anwar kerana perdana menteri tidak akan mempunyai kuasa veto dalam memilih calon yang dikehendaki dalam mana-mana agensi kerajaan.

Maka tidak hairanlah jika Anwar hanya mendiamkan diri tentang pelantikan Latheefa sebagai ketua SPRM dan beliau hanya membiarkan orang suruhannya untuk bersuara tentang isu tersebut.

Jadi sampai bila Anwar akan berdiam diri dan apa agaknya strategi beliau bagi mematahkan pergerakan Tun Mahathir itu? – NTHQiBord, 6 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.