SOLAT pertama yang dilakukan menggunakan kiblat mengadap Kaabah adalah solat Asar yang didirikan di sebuah Masjid bernama Masjid Bani Salamah, masjid yang dibina di atas bekas tapak rumah Bani Salamah. Ketika mengimamkan solat Asar tersebut, Malaikat Jibrail menyampaikan wahyu kepada Rasulullah saw. dalam ayat 144 surah Al-Baqarah yang berbunyi.

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab (injil dan Taurat), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Allah swt. mengabulkan permintaan Rasulullah saw. pada ketika itu untuk menukarkan kiblat orang Islam dari Baitul Muqaddis ke Kaabah.
Kitab-kitab lama orang Yahudi ada meramalkan akan muncul seorang pesuruh Tuhan yang menukarkan kiblat umatnya dari Jerusalem ke tapak rumah Nabi Ibrahim as.

Mengetahui pemimpinberita ini, orang Yahudi beramai-ramai menemui Rasulullah saw. untuk menawarkan diri memeluk Islam, asalkan kiblat umat Islam ditukar semula kepada Jerusalem.

Allah swt. memberi panduan kepada Rasulullah saw. untuk menghadapi tawaran pemimpin orang Yahudi itu dengan pesanan dalam ayat 145 surah al-Baqarah;

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.”

Tawaran itu akhirnya ditolak dan kiblat umat Islam kekal sehingga ke hari ini, di Masjidil Haram. Begitulah serba sedikit kisah peristiwa perubahan kiblat dari Baitulmuqaddis di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah.

Jemaah Islam pada hari itu menunaikan solat Asar 2 rakaat mengadap Baitul Muqaddis dan 2 rakaat mengadap Kaabah atas perintah Rasulullah saw. Peristiwa itu menukar nama Masjid Bani Salamah menjadi sebagai Masjid Qiblatain atau ‘masjid dua kiblat’, selepas menjadi satu-satunya tempat di mana umat Islam melakukan solat mengadap dua kiblat.

sumber:Iluminasi – 8 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.