RAFIZI Ramli adalah sosok yang popular dengan teori dan formula ketika zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Teori dan formula beliau amat dikagumi kerana disertakan dengan fakta dan angka yang begitu diyakini, sementelahan pula disertakan pelan perancangan tertentu.

Ramai yang begitu dahagakan perubahan terpesona dengan segala pelan beliau yang jitu itu. Beliau juga disebut-sebut antara calon menteri, jika PH berkuasa.

Namun, itu cerita sebelum menang PRU14. Nasib Rafizi dalam PRU14 tidak secerah seperti yang dirancang kerana tidak bertanding akibat suatu kes mahkamah.

Kini selepas setahun PH menjadi kerajaan pusat, segala teori, formula yang muluk-muluk dahulu mula menjadi bahan lawak jenaka rakyat.

Segala fakta menjadi auta dan Rafizi mula menjadi sasaran serangan rakyat dan netizen.

Tidak ada satu pun apa teori hebat beliau menjadi kenyataan.

Antara yang dicanang apabila menang ialah harga runcit kenderaan akan turun seperti Perodua MyVi RM46,000 turun kepada RM24,860; Honda Civic RM120,000 turun kepada RM63,150; Toyota Camry RM142,000 turun kepada RM71,000.

Harga minyak dijanjikan hanya RM1.50 seliter, formula menghapuskan PTPTN, Tol percuma dan banyak lagi.

Akibat tidak tertahan lagi hingga tahap dicerca oleh sesetengah netizen yang kadang-kala agak melampau, Rafizi mengugut akan menyiasat mana-mana netizen yang ‘terlampau’ mengkritiknya.

Hakikatnya, Rafizi tiada lagi hujah untuk mempertahankan segala teori, formula dan fakta yang sebelum ini kelihatan begitu genius.

Beliau menyalahkan penyokong UMNO dan PAS yang tidak menerima kekalahan dalam PRU14 lalu menjadikannya sasaran kemarahan.

Namun, ramai kalangan netizen yang mengkritiknya mendakwa mereka bukanlah semua daripada penyokong kedua parti terbabit, tetapi percaya akan kata-kata Rafizi lantas memberi sokongan.

Kini selepas setahun, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa segala janji, teori, formula dan fakta yang suatu ketika dahulu dilihat hebat tidak lebih hanya retorik semata-mata.

Rafizi sepatutnya tidak menyalahkan netizen yang mengkritiknya, tetapi perlu melihat ke dalam diri bahawa PH telah gagal dalam melunaskan segala janji.

Rakyat boleh menerima kekalahan BN, tetapi PH dan Rafizi perlu sedar bahawa sebahagian rakyat tidak boleh menerima bahawa mereka telah ditipu oleh anda dan pakatan anda.

Sekali rakyat membuat perubahan, mereka sudah tidak takut lagi untuk membuat perubahan seterusnya. – 7 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.