DALAM Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, parti kaum Cina, MCA tenggelam dan tidak dapat menyaingi gelombang masyarakat Cina itu yang memberi undi kepada DAP.

MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus kekalahan paling teruk dalam sejarah 69 tahunnya.

Malah selepas kekalahan teruk BN tersebut, MCA dan MIC berhasrat untuk keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN). Tetapi membatalkan hasrat tersebut beberapa minggu kemudian.

Namun, selepas setahun kerajaan DAP-Pakatan Harapan menerajui negara, perspektif mula berubah apabila PH gagal menunaikan segala janji manifestonya.

Malah, suasana ekonominya masih tidak menunjukkan perkembangan yang baik apabila nilai ringgit terus merosot berbanding dolar AS dan sebahagian pelabur mula menjauhi Malaysia.

Dalam tempoh yang sama juga MCA kembali bangkit dan turut melihat perkembangan mutakhir ini dari sudut yang berbeza, terutamanya usahasama antara UMNO – PAS, demikian dinyatakan oleh Pengerusi MCA Damansara Tan Gim Tuan dalam satu sesi wawancara.

“Rakyat hari ini masih tidak jelas apakah hala tuju kerajaan baharu. Terlalu banyak keputusan yang dibuat tetapi akhirnya berpatah balik (u-turn). Perkara itu membimbangkan rakyat bahkan pelabur asing juga,”

“Dalam keadaan tidak menentu ini rakyat masih tertunggu-tunggu. Tetapi sampai bila?” kata beliau.

Ketika ditanya tentang keluhan dalam kalangan peniaga Cina di bawah kerajaan PH, beliau berkata golongan itu merasakan kesan akibat dasar kerajaan baharu yang masih tidak menentu.

Gim Tuan memberi contoh perniagaan restoran. Perniagaan mereka merosot akibat ‘mood’ orang ramai yang kurang, kerana orang tidak yakin ekonomi.

Mungkin ada polisi yang baik, contohnya larangan merokok dalam jarak tiga meter dari restoran, tetapi polisi itu tidak memberi kesan bermakna kepada perniagaan.

Ketika ditanya tentang tindakan u-turn PH dalam isu hubungan perdagangan dengan negara China, Gim Tuan menempelak PH dan bagi beliau ini membuktikan dasar BN sebelum ini sebenarnya baik.

“Antara Janji yang diberikan semasa kempen ialah mahu hapus GST dan memberi jaminan bahawa harga barang akan turun.”

“Namun, yang berlaku harga barang tidak turun seperti yang dicanangkan,” kata beliau.

Kekalahan BN dalam PRU14 lalu ada hikmahnya. Menurut Gim Tuan, melaluinya rakyat sekarang dapat menilai dan menghakimi kerajaan hari ini yang gagal melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat.

Banyak perkara yang rakyat nikmati sebelumnya, tetapi kini dinafikan haknya. Antara contoh yang jelas ialah pemotongan peruntukan untuk Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) sebanyak RM50 juta.

Sedangkan kolej itu adalah salah satu perjuangan MCA dalam memberikan pendidikan peringkat tinggi kepada masyarakat Cina.

Dalam menghadapi PRU15 akan datang, MCA mengambil langkah awal dengan memberi peluang kepada muka baru dalam barisan kepimpinannya sebagai usaha berusaha mengembalikan keyakinan pengundi kepada MCA.

Tindakan itu mengikut jejak UMNO dan MIC dalam memulihkan parti dan keyakinan rakyat terhadap BN sebagai gabungan politik yang mampu mengembalikan negara ke landasan sebenar. – 3 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.