THERESA May meletak jawatan sebagai ketua Parti Konservatif, berkuatkuasa hari ini.

Tindakan perdana menteri Britain itu menandakan permulaan rasmi bagi perlumbaan calon untuk menggantikan beliau bagi menyelesaikan krisis Brexit.

May bagaimanapun akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pemimpin baharu dipilih.

Pemilihan ini mungkin berlanjutan sehingga lewat Julai depan, namun beliau sudah melepaskan kawalan terhadap proses Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Brexit masih dijadualkan pada 31 Oktober depan, namun seteru May menolak perjanjian itu yang menyebabkan Brexit tertangguh dengan hanya perjanjian pemisahan dengan Brussels tergantung di parlimen.

May mengambil alih pentadbiran, selepas undian pungutan suara 2016 untuk keluar daripada EU, sejak tiga tahun lalu beliau mengusahakannya dengan menangguhkan Brexit dua kali bagi meluluskan perjanjian pemisahan.

Namun, beliau akhirnya menyerah kalah, bulan lalu, selepas pergolakan politik selama berbulan-bulan sehingga menjejaskan semua pengaruhnya.

Seramai 11 pembuat dasar Konservatif mahu menggantikan May termasuk bekas menteri luar, Boris Johnson tetapi ada yang dijangka menarik diri, sebelum tarikh tamat pencalonan, Isnin depan.

Pemenang perlumbaan itu dijangka mempunyai tempoh beberapa bulan sahaja untuk menyelamatkan rancangan May sama ada dengan menangguhkan Brexit sekali lagi atau memutuskan hubungan dengan rakan dagangan terbesar Britain tanpa perjanjian. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.