SUATU petisyen dilancar pada 7 Jun semalam mahu supaya Latheefa Beebi Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Petisyen itu dibuat oleh pengguna Malaysia Baharu dan telah disahkan oleh Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew.

Latheefa dilantik menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal. Latheefa yang dilahirkan pada tahun 1973 di Kerala India dilantik ke jawatan tersebut oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir tanpa melalui perbincangan Kabinet mahupun jawatankuasa tertinggi Pakatan Harapan.

Petisyen itu dilancarkan kerana menganggap pelantikan Latheefa bertentangan dengan prinsip Pakatan Harapan.

Matlamat untuk memperbaharui SPRM sebagai badan bebas, bebas dari gangguan politik, telah tercemar menurut pihak yang melancarkan petisyen itu.

Sebelum memenangi PRU14 yang lalu, kesemua pemimpin dan ahli serta pengundi mengkritik kerajaan Barisan Nasional kerana sering melantik ahli politik atau bekas ahli politik ke jawatan penting dalam pelbagai agensi.

Pelantikan Latheefa terang-terang dilihat melanggar prinsip yang kononya menjadi pegangan PH.

Penentangan itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat, pembangkang dan penyokongnya, malah sebahagian pimpinan PH juga.

Walaupun Perdana Menteri mempunyai hak untuk membuat pelantikan tersebut, namun dari segi moral dan prinsipnya dilihat oleh rakyat suatu bentuk penipuan PH.

Walau bagaimanapun, tindakan Mahathir itu mendapat sokongan daripada Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR mahupun DAP.

Dari sudut yang lain, ramai pemerhati politik melihat pelantikan Latheefa dan pelantikan beberapa individu lain sebelum ini ke posisi penting sebagai usaha mengekang kemaraan Anwar Ibrahim untuk menjadi PM ke-8.

Sejauh mana sambutan terhadap petisyen ini tidak dapat dijangka dan adakah Mahathir akan tunduk kepada petisyen dan desakan sebahagian pemimpin PH juga sukar diramal.

Yang pasti, Mahathir tahu apa yang dibuatnya demi survival politiknya. Namun, isu akan ini memberi nilai tambah kepada pihak pembangkang dalam menghadapi PRU yang akan datang. – 8 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.