KECOH di media sosial mengatakan seorang ‘bodyguard’ Menteri Wilayah Khalid Samad menggunakan aset Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa cuti sambutan Aidilfitri.

Isu itu timbul apabila kenderaan yang digunakan pengawal peribadi itu terlibat dalam satu kemalangan di lebuh raya dan menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera akibat melanggar kenderaan itu.

Satu video berdurasi 35 saat menunjukkan kenderaan DBKL berwarna putih jenis Nissan berhenti di tepi jalan dan perakamnya mendakwa pemandu kereta itu menggunakan laluan kecemasan untuk mengelakkan kesesakan trafik.

Perakam itu mendakwa pemandu itu menjadi punca kemalangan tersebut kerana sikap yang kurang bijak menggunakan laluan paling kiri.

Namun dalam satu laporan polis bertarikh 6 Jun lalu yang tersebar dalam media sosial, pengadu bernama Ahmad Fadzhili Idzhar mendakwa dia memandu kereta itu bersama seorang rakannya yang dipercayai pegawal peribadi Khalid.

Ahmad mendakwa dia memandu lorong paling kiri sebelum penunggang motosikal terbabit melanggar bahagian belakang kenderaan yang mereka pandu akibat cuba mengelak sebuah kereta lain dihadapan yang berhenti secara mengejut.

DBKL dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan pemandu yang terlibat merupakan pemandu ganti untuk Khalid kerana pemandu asalnya sedang bercuti raya.

DBKL berkata kejadian itu berlaku ketika pemandu dan pengawal itu dalam perjalanan balik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk menjemput Khalid dari rumah rasminya di Putrajaya.

Khalid sepatutnya melawat mangsa kebakaran di Kampung Baru.

DBKL berkata kedua-dua mereka diminta bersedia untuk bekerja sepanjang hari oleh Khalid ketika menteri itu melawat ibu dan sanak saudaranya.

Persoalan yang timbul, kenapa pemandu dan pengawal peribadi itu berada di Negeri Sembilan dengan menggunakan aset DBKL?

Walaupun mereka dalam keadaan ‘standby’, bukankah tidak sepatutnya mereka berada di luar kawasan Kuala Lumpur dengan menggunakan aset kerajaan?

Selain itu, tindakan mereka yang didakwa menggunakan laluan kecemasan juga amat mengecewakan.

Adakah kerana mereka menggunakan aset DBKL, mereka boleh melanggar peraturan jalan raya dan bertindak membuli pengguna yang lain?

Semoga pihak polis dapat menyiasat kejadian ini dengan telus dan mengenakan tindakan yang setimpal. – NTHQiBord, 8 Jun.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.