KRITIKAN beberapa pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) yang asyik mengaitkan orang Melayu dengan kata-kata negatif, dianggap sebagai menghina bangsa sendiri.

Keadaan ini secara jelas tidak benar apabila pada waktu ini kita dapat lihat ramai dalam kalangan orang Melayu terutama golongan belia yang sudah berjaya atas usaha yang mereka lakukan.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Ketua UMNO Bahagian Subang yang turut sama melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan panas para pemimpin PH.

Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata penilaian negatif terutama daripada perdana menteri pada suatu ketika dahulu terhadap orang Melayu adalah tidak adil.

“Saya amat marah dengan kenyataan Tun Mahathir (Mohammad) yang kata Melayu malas,” katanya.

Menurut Armand, beliau melihat ramai dalam kalangan orang muda yang banyak menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Tambah beliau, keadaan ini membuktikan bahawa kritikan perdana menteri terhadap orang Melayu itu adalah tidak benar.

“Kerana ramai dalam kalangan anak-anak muda Melayu yang sudah jadi jutawan.

“Kalau dulu orang Melayu keluar (habis belajar) sahaja kerja kerajaan, tetapi hari ini lanksap politik negara sudah berbeza.

“Kita lihat dan nilaikan sendiri, ramai anak muda ini sebaik habis belajar jadi ahli perniagaan yang berjaya secara online..sampai jadi jutawan.

“Saya kenal beberapa anak muda yang berusia 22-23 tahun yang ada bisnes, pendapatan sebulan  melebihi 50,000 hingga 60,000,” katanya pada sesi wawancara bertajuk ‘Kerajaan PH Gagal :Tun Mahathir Mengakui Kerajaan PH Kerajaan 5 Per 10, bersama Nothing To Hide, baru-baru ini.

Bekas exco pemuda UMNO itu turut menegaskan bahawa tindakan Tun Mahathir yang selalu menyalahkan orang Melayu ini tidak sepatutnya berlaku.

Malah beliau menyifatkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai tahap kesabaran mereka.

Beliau turut meminta bahawa pemimpin PH termasuk perdana menteri berhenti daripada memperbodohkan bangsa sendiri.

Armand turut menyifatkan bahawa kekalahan parti kerajaan itu pada pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau adalah satu petanda protes rakyat terhadap PH.

“Saya hendak sanggah kenyataan perdana menteri kita dan kepimpinan PH

“Sudah-sudahlah…Melayu ada kesabarannnya tapi jangan cuba-cuba hendak memijak kesabaran orang Melayu.

“Kerana akhirnya orang Melayu akan bangkit.

“Kerana seperti mana keputusan PRK ini orang Melayu sudah bangkit dan orang Melayu tolak PH simbolik tunjuk parasaan tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan sedia ada,” tegasnya. -NTHQiBord, 9 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.