SOALAN

Assalamualaikum S.S Dato Mufti, saya ingin bertanyakan soalan. Apakah hukum ibu bapa yang menggunakan duit simpanan anak-anak tetapi menggantikan semula duit tersebut? Boleh S.S Dato Mufti terangkan sedikit mengenai perkara ini. Terima kasih

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik. Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.

Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini”

Riwayat at-Tirmizi (2159)

Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)

Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:

i.Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya

ii.Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.

Lihat al-Mughni (6/62)

Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ

Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”

Riwayat Ibn Majah (2291)

Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)

Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)

Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ ataupun tidak.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:

يَأْخُذُ الْأَبُ وَالْأُمُّ مِنْ مَالِ وَلَدِهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِ ، وَلَا يَأْخُذُ الِابْنُ وَالِابْنَةُ مِنْ مَالِ أَبَوَيْهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِمَا

Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)

Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:

i.Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya.

Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)

ii.Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.

Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.

S.S. DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan – 10 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.