PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu turut mendapat bantahan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa daripada PKR.

Nik Nazmi dalam akaun twitter menggesa orang ramai agar menandatangani petisyen yang mahu Latheefa meletak jawatan.

Bagi Nik Nazmi, pelantikan Latheefa sepatutnya melalui pengesahan Jawatankuasa Parlimen, bahkan bertentangan dengan janji reformasi dan janji manifesto yang diperjuangkan selama ini.

Persoalannya, adakah hanya isu Latheefa ini sahaja yang bertentangan dengan janji reformasi? Bagaimana dengan pelantikan individu lain sebelum ini?

Atau adakah kerana Latheefa bukan berada dalam kem yang sama maka pelantikan ini harus ditentang?

Sebelum ini, banyak isu yang membabitkan pelanggaran janji reformasi tetapi tidak pula mendapat respon daripada Nik Nazmi.

Mungkin apa yang berlaku sebelum ini tidak menggugat kepentingan beliau dan kem beliau.

Pelantikan Latheefa kini memecahkan PKR kepada dua kem, satu yang menyokong daripada kumpulan Azmin dan satu lagi kumpulan menentang.

Dalam laman web change.org, menggariskan tiga perkara pelantikan Latheefa wajib dibantah!

Perkara pertama ialah Proses pemilihan, yang sepatutnya ditentukan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Khas dan bukan lagi lantikan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Perkara kedua ialah personal yang dipilih, harus dari kalangan penjawat awam, selari dengan apa yang telah termaktub dalam akta SPRM itu sendiri.

Perkara ketiga ialah janji pilihanraya (jika berjaya membentuk kerajaan) untuk memastikan lantikan jawatan agensi integriti seperti SPRM wajib bebas dari kalangan ahli politik.

Dalam perkembangan lain, Pak Cik Lim Kit Siang menyatakan pelantikan itu sah dari segi undang-undang tetapi salah dari segi moral.

Pihak PH sebenarnya tidak lagi layak untuk bercakap tentang janji reformasi, moral atau sebagainya. Selepas setahun, rakyat dapat melihat dengan terang dan jelas bahawa kerajaan DAP-PH telah menyimpang daripada mandat asal yang diberi oleh rakyat.

Sejauh manakah petisyen ini boleh menggugat keputusan Mahathir tidak dapat dipastikan. Hal ini kerana, blok pembangkang pastinya akan membiarkan sahaja kerajaan DAP-PH bercakaran sesama sendiri.

Semakin kuat mereka bertelagah semakin baik untuk blok pembangkang. Rakyat tidak perlu diprovokasi tentang kelemahan kerajaan DAP-PH kerana rakyat boleh melihat dengan mata sendirik kelemahan mereka.– 10 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.