PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing.

Kedua-duanya menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sempena Muktamar PAS ke-65.

Muktamar PAS kali ini berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Pahang pada 21 hingga 23 Jun 2019.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, sehingga kini tiga penyandangnya iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad layak bertanding. Seorang muka baru yang layak bertanding ialah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

Bagi jawatan AJK PAS Pusat, jelasnya 29 calon layak bertanding.

Semua calon yang layak bertanding diberi masa hingga Rabu ini bagi membuat keputusan sama ada meneruskan bertanding atau menarik diri.

Begitu juga dengan jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat dan Ketua Muslimat PAS Pusat serta Timbalan dan Naib Ketuanya menang tanpa bertanding.

Tahun ini merupakan tahun pemilihan jawatan dalam parti dan sehingga kini suasana pencalonan berlangsung dalam keadaan harmoni.

Pemilihan jawatan lain juga dijangka akan berlangsung dalam suasana yang harmoni selepas “kumpulan liberal” dalam PAS disingkirkan dalam pemilihan sebelum ini.

Antara perkara yang dijangka dibahaskan dalam muktamar pada kali ini ialah tentang kerjasama antara PAS dan UMNO, khususnya bagi menghadapi PRU akan datang.

Lebih dari itu, dijangkakan strategi perpaduan ummah PAS-UMNO dibincangkan demi memastikan Islam dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera terpelihara.

Pemilihan membabitkan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, dan pemilihan AJK PAS Pusat.

Muktamar tahunan PAS diadakan setiap tahun, tetapi pemilihan AJK dan dewan dilakukan setiap dua tahun sekali.

Sehingga kini PAS tidak pernah menangguhkan pemilihannya walaupun bertembung dengan Pilihan Raya Umum. – 10 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.