PEGANGAN agama Latheefa Koya sebagai seorang Islam antara faktor penting yang perlu dipandang positif oleh rakyat Malaysia terhadap pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Dato’ Azwanddin Hamzah berkata, ketika rakyat masih marah dengan pelantikan bukan Islam menerajui beberapa jawatan penting dalam kerajaan, keputusan Tun Mahathir Mohamad memilih Latheefa menerajui SPRM adalah langkah tepat dan kena pada masanya.

Antara kemarahan rakyat berhubung pelantikan kontroversi dalam barisan Kabinet Pakatan Harapan adalah Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Liew Chin Thong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Begitu juga dengan pelantikan dalam institusi kerajaan seperti Tommy Thomas menjadi Peguam Negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara sebelum beliau bersara pada Mei lalu.

Oleh itu, Azwanddin menyifatkan pelantikan Latheefa sepatutnya melegakan rakyat terutamanya orang Melayu kerana agensi penting kerajaan itu dipegang oleh seorang peguam yang beragama Islam.

Ini kerana katanya, sebagai seorang Islam, Latheefa masih mempunyai pertimbangan dan pandangan yang mengutamakan serta menjaga kepentingan Islam dan Melayu berbanding lantikan dalam kalangan bukan Islam.

Sukar dipengaruhi

Satu lagi faktor yang dibangkitkan Azwanddin adalah latar belakang Latheefa sebagai seorang pengamal undang-undang yang tegas dengan pendiriannya.

Melalui sikap itu, Azwanddin yakin Latheefa mampu membersihkan masalah rasuah dalaman dan menstruktur semula organisasi SPRM di setiap peringkat sebelum menangani isu rasuah secara menyeluruh.

Presiden Gagasan Tiga (G3) itu juga memuji keputusan berani Tun Mahathir meletakkan ‘orang luar’ sebagai ketua SPRM kerana langkah itu secara tidak langsung menghapuskan amalan kroni dan pilih bulu dalam organisasi tersebut.

Pihak berkepentingan dalam SPRM tidak boleh lagi menggunakan pengaruh atau mendapatkan sokongan kerana Latheefa bukan berasal dari agensi itu dan tidak pernah menjalinkan urusan kerja dengan mana-mana pegawai sebelum ini.

Malah pegawai-pegawai SPRM yang mempunyai agenda peribadi perlu berfikir dua kali untuk cuba mempengaruhi Latheefa kerana mereka tidak ada pengalaman berurusan atau bekerja dengannya sebelum ini.

SPRM lebih bersih

Azwanddin juga menyifatkan SPRM mampu menjadi agensi antirasuah yang lebih kompeten dan bersih kerana diterajui Latheefa yang tidak mempunyai kepentingan dalam badan kerajaan itu.

Mengulas mengenai isu lantikan politik, Azwanddin berkata Latheefa sudah melepaskan jawatan daripada politik dan beliau yakin wanita itu mampu membezakan hal berkaitan politik dengan hal berkaitan integriti.

“Latheefa menggalas tanggungjawab besar untuk membasmi rasuah dan berpegang kepada integriti tanpa memihak kepada mana-mana individu serta parti.

“Kita berharap agar SPRM akan nampak lebih bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berdasarkan kepada sikap peribadi dan latar belakang Latheefa sendiri yang dikenali sebagai seorang yang amat tegas dan tidak berkompromi dengan mana mana pihak.

“Tindakan Tun Mahathir dilihat mampu mengimbangi semula hal integriti dengan meletakkan orang baru seperti Latheefa, bukan sahaja boleh memberi nafas baru dalam sektor kerajaan malah boleh menyelesaikan hal berkaitan politik wang  yang berlaku dalam setiap parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – NTHQiBord, 10 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.