IKON Demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyemai sentimen kebencian terhadap umat Islam apabila menyifatkan populasi Muslim di negaranya sebagai perkara yang mengecewakan.

Suu Kyi menyuarakan kekesalan itu ketika bertemu dengan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban di Budapest pada minggu lalu.

Pendapatnya itu turut disokong oleh Viktor walaupun Suu Kyi hanya membisu isu penindasan etnik Islam Rohingya di Myanmar.

Suu Kyi menerima balasan memalukan apabila beberapa anugerah antarabangsa yang diberikan kepadanya ditarik balik kerana kegagalannya menangani isu kebanjiran pelarian Rohingya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyalahkan pejuang demokrasi itu kerana gagal untuk menghalang keganasan dan kekejaman ke atas etnik Islam terbabit yang menyebabkan lebih 700,000 melarikan diri ke Bangladesh.

Viktor tampil dengan kenyataan lebih biadap apabila menggelar pelarian dari negara-negara Arab yang melarikan diri daripada peperangan dan krisis ekonomi di negara masing-masing sebagai ‘penceroboh Islam’.

Dengan angkuh pemimpin berhaluan kanan itu berkata, beliau telah mengambil langkah dramatik untuk mengurangkan kemasukan golongan tersebut ke Hungary.

Kerajaan Budapest turut mengarahkan pembinaan pagar kawat berduri di sepanjang sempadan dengan Serbia di bawah usaha mengekang kebanjiran pelarian.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW).

“Suu Kyi melihat pertemuan dengan Orban sebagai pencapaian yang sangat penting. Beliau kini seakan berbangga kerana dapat menjalinkan persahabatan dengan pemimpin antidemokrasi dan xenofobia seperti Orban selepas tindakan memalukannya kerana menyembunyikan kekejaman tentera Myanmar ke atas penduduk Rohingya,” kata Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson.

Sebelum ini, Orban beberapa kali tidak sependapat dengan Kesatuan Eropah (EU) tentang isu migrasi selepas Hungary mengisytiharkan ‘situasi krisis akibat tsunami pelarian’ pada 2015.

Laporan Majlis Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Eropah mendapati pentadbiran pemimpin nasionalis itu didakwa menggunakan retorik antipelarian yang jelas mempamerkan sikap xenofobia dan kebencian terhadap golongan terbabit.

Difahamkan, lawatan pemimpin Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) ke tengah Eropah itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi di rantau terbabit.

Selain Hungary, Suu Kyi telah melawat ke Republik Czech dan bertemu dengan Perdana Menteri, Andrej Babis. – 10 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.