SELEPAS dua minggu peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Muhammad Kassim, Syazlin Mansor menarik diri dari inkues kematian anggota bomba itu, kini giliran suaminya pula meletak jawatan sebagai pembantu seorang menteri.

Ahmad Soffian Mohd Syariff hari ini meletak sebagai setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Soffian menghantar surat peletakan jawatan itu pada hari ini dan akan bercuti selama sebulan.

Tindakannya itu dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas ketika mengulas pengunduran Syazlin sebagai peguam keluarga Adib.

Tommy sebelum ini berkata pelantikan Syazlin sebagai peguam Adib menimbulkan konflik berkepentingan kerana suami wanita itu merupakan setiausaha akhbar kepada Zuraida.

Sehubungan itu, Tommy mengarahkan Syazlin untuk menarik diri menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib dalam inkues kematian anggota bomba tersebut.

Arahan Tommy itu menimbulkan kemarahan rakyat yang mendesak beliau meletak jawatan kerana keputusan itu dilihat cuba menyembunyikan kebenaran dalam inkues tersebut.

Ini kerana arahan tersebut dikeluarkan tidak lama selepas Syazlin mempertikaikan teori seorang pakar bedah siasat dari Hospital Kuala Lumpur yang mendakwa kecederaan Adib bukan akibat dipukul perusuh.

Adib meninggal dunia akibat kecederaan dipercayai dipukul perusuh dalam kejadian rusuhan di kuil Seafield pada November tahun lalu.

Zuraida kini berada di luar negara dan belum menerima surat peletakan jawatan tersebut. – NTHQiBord, 10 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.