KEPUTUSAN Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak tunduk kepada tuntutan kerajaan India yang mahu mengekstradisi Dr Zakir Naik turut disokong oleh PAS.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika dihubungi menyatakan sokongannya kepada tindakan Mahathir itu.

“Tindakan Tun Mahathir itu perlu disokong oleh semua pihak. Apatah lagi Zakir Naik tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dituntut untuk diekstradisi ke India. Sedangkan beliau hanya ditohmah kononnya terlibat dalam penggubahan haram dan sebagainya,” kata Ustaz Idris.

Menurut beliau, tuduhan yang dikenakan terhadap Zakir Naik adalah konspirasi antarabangsa kerana melihat pengaruh beliau dalam peyebaran Islam dan dialog keagamaan yang boleh menggugat kedudukan mereka.

Ustaz Idris juga berpendapat tindakan Tun Mahathir itu selaras dengan isu kemanusiaan dan keadilan yang sepatutnya diberi kepada Zakir Naik.

Tindakan Tun Mahathir turut disokong Pemuda PAS Malaysia melalui Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi, dalam suatu kenyataan media hari ini.

“Saya menyokong tindakan Tun Mahathir untuk tidak mengekstradisi pendakwah antarabangsa Zakir Naik ke India atas kebimbangan beliau tidak akan mendapat keadilan yang sewajarnya.”

“Saya juga percaya disebabkan status dan kredibiliti Zakir Naik sebagai pendakwah antarabangsa maka Tun Mahathir membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi beliau ke India,” kata Khalil.

Sebelum ini, Mahathir berkata, Malaysia tidak akan akur pada tuntutan negara lain dengan mudah. Pada Julai tahun lepas, beliau berkata, “kita perlu kaji semua faktor sebelum bertindak. Jika tidak, akan ada orang yang menjadi mangsa”.

Khalil percaya, berdasarkan kemampuan dan pengalaman Mahathir, keputusan untuk tidak mengekstradisi Zakir Naik tidak akan menyebabkan berlakunya ketegangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan India.

Pemuda PAS turut menyelar tindakan Ramkarpal mempertikai keputusan Tun Mahathir untuk tidak memenuhi tuntutan ekstradisi Kerajaan India.

Bagi Pemuda PAS, yang Tun Mahathir cuba sampaikan ialah keputusan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut adalah sama (merujuk kes Sirul) tanpa menyebut pertuduhan jenayah, hukuman dan polisi.

Zakir Naik yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas tuduhan tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah kira-kira RM115 juta.

Mahkamah di Mumbai dijangka membuat keputusan sama ada satu waran tangkap tidak boleh jamin perlu dikeluarkan Pada 16 Jun ini.

Sekiranya dikeluarkan, India akan meminta bantuan Interpol bagi menahan Zakir Naik dan membawanya pulang untuk dibicarakan.

Beliau juga dituduh menimbulkan kebencian dan permusuhan antara pelbagai komuniti agama melalui syarahannya. – NTHQibord 11 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.