PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, turut dipertahan Pemuda PAS.

“Saya percaya keputusan Tun Mahathir melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pengarah SPRM yang baharu iaitu tanpa merujuk kepada Kabinet, mempunyai alasan tersendiri,” kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurut Khalil, muktakhir ini jika dilihat Tun Mahathir sudah boleh dikatakan membuat dua keputusan yang agak besar tanpa merujuk dulu kepada kabinet.

Khalil merujuk keputusan Tun Mahathir dalam isu pelantikan Latheefa dan isu mempertahankan Zakir Naik daripada tuntutan India.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Kabinet yang ada sekarang lemah dan terdapat anggotanya tidak menepati piawaian sebagaimana yang didakwa hingga Tun Mahathir langsung tidak merujuk kepada mereka.

Ataupun adakah Tun Mahathir tidak mempercayai sebahagian daripada mereka lalu membuat keputusan sendiri?

Jika dilihat setelah Tun Mahathir membuat keputusan terhadap kedua-dua perkara tersebut, terdapat pimpinan PH yang begitu lantang mengkritik tindakan beliau.

“Berdasarkan situasi tersebut, boleh disimpulkan bahawa Kerajaan PH tidaklah sekukuh dan sekuat yang didakwa. Ia umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletus akibat berbeza fahaman, polisi dan mentaliti,” kata Khalil.

Sebelum ini, Tun Mahathir menegaskan beliau membuat keputusan berkenaan kerana berpendapat Latheefa calon paling sesuai untuk memikul tugas itu.

Antara ciri-ciri yang ada pada Latheefa menurut Tun Mahathir ialah dia seorang yang mengambil kerjanya dengan serius.

Selain itu, Latheefa antara yang berani menegur Anwar kerana dianggap mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri.

Atas sebab itu, ada yang beranggapan pelantikan Latheefa itu juga sebagai salah satu strategi Tun Mahathir menyekat Anwar daripada menjawat jawatan PM seterusnya.

Namun, Tun Mahathir menafikan dakwaan tujuannya itu untuk menyekat Anwar.

Ada juga sebahagian yang mengkritik pelantikan itu sebagai bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan. Namun, kritikan ini timbul bukan kerana bertentangan manifesto tetapi lebih kepada kem yang berbeza. – NTHQibord 11 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.