NAMA Nik Faisal Ariff Kamil sekali lagi disebut dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Kali ini saksi ke-39, Tan Sri Ismee Ismail yang merupakan bekas pengerusi dan pengarah SRC menyebut nama bekas ketua pegawai eksekutif anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Ismee mendedahkan bahawa Nik Faisal mempunyai kecenderungan untuk berbohong, memutarbelit fakta dan angka, dan memanipulasi akaun dan penyata kewangan syarikat.

Sikap negatif Nik Faisal itu dan cara pengurusannya dalam SRC menyebabkan Ismee meletak jawatan dalam syarikat itu pada 15 Ogos 2014.

Ismee mendedahkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Saya meletak jawatan kerana tidak suka dengan cara pengurusan syarikat yang dikendalikan oleh Nik Faisal, terutamnya melibatkan akaun dan kewangan syarikat,” katanya kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ismee yang juga merupakan pengarah bukan eksekutif 1MDB, memberi contoh sikap Nik Faisal memutarbelit fakta dan angka apabila memfailkan beberapa penyata kewangan yang kritikal.

“Nik Faisal mengendalikan banyak perkara melibatkan SRC,” katanya.

“Dia akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada lembaga pengarah untuk mendapatkan kelulusan dan mengambil tindakan susulan bagi setiap projek SRC yang dirancang untuk dilaksanakan.” – NTHQiBord, 11 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.