DATUK Seri Najib Razak tidak boleh sesuka hati melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd kerana anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu mempunyai peraturan yang ketat melibatkan pelantikan pegawai atasan.

Mengikut Klausa 117 dalam Artikel Persatuan syarikat, bekas perdana menteri itu tidak mempunyai halangan untuk melantik individu layak menduduki jawatan dalam syarikat tetapi perlu mendapatkan persetujuan lembaga pengarah 1MDB.

Difahamkan, pelantikan Nik Faisal dibuat atas saranan Jho Taek Low atau Jho Low yang kini dalam buruan kerana dipercayai dalang sebenar skandal 1MDB.

Berdasarkan keterangan saksi ke-39 kes penyelewengan SRC International, Tan Sri Ismee Ismail, beliau mengakui lembaga pengarah SRC International tidak pernah kedudukan Nik Faisal sebagai satu-satunya individu yang berhubung dengan Najib dalam sebarang urusan syarikat itu.

Ismee yang juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, berkata pihaknya (lembaga pengarah) hanya berurusan dengan Nik Faisal, dan tidak pernah bertemu dengan Najib.

“Tiada ahli lembaga pengarah (SRC) meminta nasihat daripada penasihat emeritus (Najib).

“Kesemua ahli lembaga pengarah hanya mendengar kata lisan dari Nik Faisal. Lembaga pengarah juga tidak pernah mencatat sebarang pengesahan bertulis selain tiada perbincangan rasmi dengan Najib sebagai penasihat emeritus.

“Ini berikutan kata-kata Nik Faisal cukup meyakinkan,” katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, Nik Faisal akan ‘menjual’ nama Najib setiap kali bertemu dengan lembaga pengarah untuk mendapatkan sebarang keputusan atau melibatkan pengurusan syarikat itu.

Ismee memberitahu, Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah bahawa Najib sudah dimaklumkan tentang hal berkaitan syarikat dan bekas perdana menteri itu memberi kelulusan dalam kebanyakan projek SRC.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tiada seorang pun ahli lembaga pengarah mendapatkan pengesahan daripada Najib untuk mengesahkan setiap kata-kata Nik Faisal.

Keterangannya hari ini menimbul persoalan kerana semalam beliau berkata Nik Faisal mempunyai kecenderungan untuk menipu dan memanipulasi fakta serta penyata kewangan syarikat.

Jika Ismee merasakan perbuatan Nik Faisal itu salah, beliau sepatutnya mengadukan hal tersebut kepada Najib atau pihak yang layak untuk membangkitkan perkara tersebut.

Sebaliknya, Ismee mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada 2014, iaitu tiga tahun selepas Nik Faisal dilantik pada 2011 sebagai CEO SRC International. – NTHQiBord, 12 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.