PEGUAM Syazlin Mansor menyatakan bahawa ada tindakan yang berniat jahat untuk memburukkan nama beliau dan suaminya.

Perkara itu termasuklah tindakan Peguam Negara mendedahkan bahawa suaminya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Tindakan Peguam Negara itu menjadi salah satu sebab untuk ‘memaksa’ Syazlin menarik diri daripada meneruskan tugasnya dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Demikian dinyatakan oleh Syazlin dalam sidang media anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di ibu pejabat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Jalan Ledang Off Jalan Duta hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Syazlin turut menyatakan bahawa pihak Peguam Negara dan pegawai pengendali inkues turut tahu kedudukan beliau dan suaminya.

“Adakah salah bagi saya, seorang peguam ingin membantu keluarga arwah dan bomba secara pro bono (percuma)?

“Saya amat terkilan apabila Peguam Negara mengheret suami saya dalam isu ini,” kata Syazlin.

Syazlin menjelaskan bahawa pada hari beliau menarik diri daripada menjadi peguam Adib, beliau ada bertanyakan kepada Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni kenapa (ketika itu) beliau disingkirkan, sedangkan Peguam Negara telah maklum sejak awal beliau mewaklili KPKT, JBPM dan keluarga.

Faten memberi alasan bahawa Peguam Negara berpendapat beliau akan membantu inkues ini dan bertindak secara bona fide (berniat baik).

Syazlin bertanya bilakah beliau tidak membantu inkues dan bertindak dengan mala fide (berniat jahat)?

Faten menyatakan kenyataan Syazlin sentiasa bercanggah dengan kedudukan yang diambil Pegawai Pengendali dan mempersoalkan teori pakar HKL.

Syazlin juga menyatakan bahawa soal-jawab beliau dan Faten itu disaksikan sendiri oleh peguam yang mewakili keluarga arwah.

Dalam sidang media yang sama Syazlin mengumumkan akan menyertai semula prosiding inkues kematian Adib bagi mewakili keluarga arwah.

Muhammad Adib, 24, yang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dia menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018. Mahkamah Koroner di Shah Alam menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula bagi prosiding. – NTHQiBORD12 Jun 2019

2 COMMENTS

  1. Well done Persatuan Peguam Muslim Malaysia. All of us Muslim and non-Muslim should stand strong behind Syazlin and PPMM to ensure the justice prevailed. I an yet to hear from the statement from the Bar Council (by right should be protecting the right of the lawyer)..

  2. Teguh kan pendirian dan laksanakan amanah kerana Allah..Justice 4 Adib dan semua yg membantu..semoga Allah lindungi semua..Aamiin

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.