SIASATAN berkenaan video seks songsang serta kes rasuah melibatkan seorang menteri kanan akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara profesional tanpa berpihak kepada sesiapa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, Latheefa Koya.

Menurutnya lagi siasatan tidak akan dilakukan oleh beliau, tetapi akan dikendalikan oleh timbalannya.

“Siasatan bagi kes ini akan dikendalikan di bawah timbalan saya serta pasukan siasatan beliau.

“Saya tidak akan terbabit dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan.

Latheefa berkata demikian berkenaan laporan terhadap SPRM semalam yang dibuat oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam membabitkan seorang menteri Kabinet.

Menerusi laporan tersebut Lokman meminta siasatan dijalankan terhadap dakwaan pemindahan dana berjumlah kira-kira RM4 juta (AS$741,440) ke akaun bank milik menteri terbabit di luar negara sekitar Disember 2017.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa dia menerima dokumen berkenaan yang dihantar seorang individu mengenai satu rekod transaksi dana oleh UEM Group Bhd ke atas akaun milik menteri terbabit di Deutsche Bank AG – ZR BR, no akaun 0061508230587 pada 19 Disember 2017.

Sementara itu, Lokman turut berkata perkara ini memberi peluang kepada Latheefa untuk membuktikan di bawah kepimpinannya pihaknya akan menyiasat sesiapa sahaja tanpa pilih kasih.

Selain kes rasuah, menteri yang sama itu juga terpalit dengan skandal seks sejenis.

Awal pagi tadi, seorang individu membuat pengakuan bahawa dia melakukan yang hubungan luar tabii itu bersama menteri terbabit.

Haziq Aziz bagaimanapun menerusi video di Facebook miliknya berkata rakaman video seksnya itu dilakukan di luar pengetahuannya.

Malah pegawai kepada timbalan menteri itu turut menggesa siasatan berkenaan kes rasuah yang dilakukan oleh pemimpin politik itu perlu disiasat. – 12 Jun 2019.

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.